Jiran terlampau: Koperal polis didakwa 'buat hal' berbogel depan remaja
Raffi Bachik
Januari 12, 2018 16:17 MYT
Januari 12, 2018 16:17 MYT
Gara-gara melakukan aksi terlampau dengan berbogel di hadapan jirannya, seorang anggota polis lelaki berpangkat koperal dihadapkan ke mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Tertuduh, P. Maniam 49 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadapnya, dibacakan oleh jurubahasa di hadapan majistret Mohd Firdaus Saleh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati berkelakuan kurang sopan ketika berada di belakang rumah dengan berbogel untuk dilihat oleh seorang remaja berusia 17 tahun dan disaksikan oleh bapanya berusia 57 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di Taman Saujana Indah, Bukit Katil Melaka sekitar 5.30 petang, 18 dan 25 April 2017 lalu.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100 jika sabit kesalahan.
Terdahulu, prosiding yang dikendalikan timbalan pendakwaraya Shazreen Nadia Saaban mencadangkan jaminan RM6,000 diberikan terhadap tertuduh.
Maniam yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah jaminan yang serendah-rendahnya.
Mohd Firdaus pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
#ayer keroh
#berbogel
#jiran terlampau
#lelaki
#lucah
#mahkamah
#Mahkamah Majistret
#polis
#remaja
#rumah