Jiran nampak percikan api pada kotak fius di rumah saya - Mangsa

Sinar Harian
Februari 12, 2024 13:48 MYT
Kejadian kebakaran di Flat Sri Sabah pada Ahad malam. Gambar kecil dari kiri: Law, Joseph
KUALA LUMPUR: Seorang pemilik dalam kejadian kebakaran di Flat Sri Sabah, dekat sini mendakwa insiden itu berlaku dipercayai berpunca daripada percikan api pada kotak fius di rumahnya di tingkat 17.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Law, 32, berkata, dia berada di sebuah pusat beli-belah di Cheras, dekat sini, ketika kejadian berlaku dan menerima panggilan daripada sepupunya kira-kira jam 9.45 malam memaklumkan kejadian kebakaran tersebut.
Katanya, seorang jiran telah melihat terdapat percikan api dipercayai dari rumahnya.
"Ketika kejadian, saya dan ibu keluar ke sebuah pusat beli-belah bersama dua anak, sebelum sepupu yang tinggal di blok lain menelefon saya memberitahu rumah terbakar.
"Saya cepat-cepat pulang tetapi tidak dapat masuk.
"Ada jiran beritahu kebakaran bermula di rumah saya kerana dia ternampak percikan api pada kotak fius," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Isnin.
Law yang tinggal di flat tersebut bersama ibunya berkata, dia agak terkejut dengan kejadian tersebut setelah menghuni di rumah itu sejak lahir.
Menurutnya, ekoran kejadian itu, dia mengalami kerugian ribuan ringgit serta kehilangan dokumen peribadi yang musnah dalam kejadian kebakaran itu.
Bagaimanapun katanya, dia bersyukur kerana semua mangsa kejadian selamat dan kejadian tidak berlaku ketika penghuni sedang nyenyak tidur.
"Kami kini sehelai sepinggang, manakala duit simpanan ibu juga sudah dijilat api.
"Ia satu kejadian yang sangat hiba kerana berlaku pada hari raya Tahun Baharu Cina.
"Kami berharap pihak kerajaan dapat menyediakan rumah baharu bagi menggantikan rumah kami yang terbakar ini," katanya.
Dalam pada itu, Law menafikan satu laporan media yang mendakwa kebakaran tersebut berpunca disebabkan ritual agama sempena Tahun Baharu Cina iaitu bermain mercun.
Sementara itu, seorang lagi penduduk yang terkesan, Joseph Simon, 61, berkata, dia sedang menikmati makan malam sebelum dihubungi rakannya memaklumkan kediamannya terbakar sekitar 9.30 malam.
Menurutnya, dia bergegas pulang dan mendapati api merebak dari pintu rumah ketiga di tingkat 17 dan menjejaskan rumah jiran-jiran berdekatan.
Jelasnya, masalah pada tekanan air juga memberi kesan untuk memadam kebakaran.
"Saya tidak berani hendak pergi dekat sebab api marak dengan cepat.
“Setakat ini saya belum boleh anggarkan kerugian kerana rumah saya dalam proses ubah suai dalaman dan banyak barangan elektrik yang saya sudah keluarkan," ujarnya.
Namun begitu, katanya, dia bersyukur kerana kebiasaan ibunya yang berusia 82 tahun akan sentiasa berada di rumah.
"Namun beberapa hari sebelum kejadian kebakaran ini, ibu kata hendak pergi rumah kakak saya, jadi saya hantar dia ke sana.
"Saya berharap akan ada sedikit bantuan dan sumbangan oleh kerajaan atau pihak berwajib bagi meringankan beban ditanggung oleh semua mangsa," katanya yang telah menetap di situ lebih 30 tahun. -Sinar Harian
#flat sri sabah #mangsa kebakaran #kotak fius #tingkat 17
;