JIPS laksana ujian integriti kepada pegawai, anggota bertugas di lapangan
Bernama
Mac 6, 2022 08:45 MYT
Mac 6, 2022 08:45 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan ujian integriti bagi menguji, menilai tahap integriti atau pematuhan pegawai dan anggota polis yang bertugas di lapangan khususnya melibatkan penugasan 'hotspot' bagi mengekang gejala rasuah.
Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata ujian integriti merupakan pemerhatian, pemantauan dan penyamaran yang melibatkan anggota serta pegawai polis menyamar sebagai orang awam.
Beliau berkata antara penugasan 'hotspot' adalah melibatkan penugasan di sekatan jalan raya, kereta peronda, unit rondaan bermotosikal dan pegawai penyiasat.
"Pelaksanaan ujian integriti ini mampu menutup ruang dan peluang berlakunya kes rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota polis di samping meningkatkan keyakinan masyarakat umum terhadap PDRM.
"Selain itu, dalam menangani isu rasuah ini, JIPS juga akan memperkasakan sistem kawalan disiplin dan dadah (SKDD) yang diperkenalkan sejak 1979," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurutnya SKDD merupakan satu instrumen pengawalan dan penyeliaan yang bersistematik untuk memantau gaya hidup, pemilikan harta dan kegiatan negatif termasuk penyalahgunaan dadah, rasuah, judi, maksiat serta sebarang pelanggaran tata kelakuan lain.
Azri berkata sejajar dengan usaha itu, JIPS memantau pelaksanaan SKDD bagi memastikan warga PDRM menghindari kegiatan negatif sekali gus memelihara kewibawaan PDRM sebagai organisasi penguatkuasan undang-undang yang unggul dan dihormati.
"Usaha untuk menangani rasuah melibatkan pengukuhan integriti warga PDRM melalui pembangunan, pencegahan dan pemulihan dengan menumpukan pemerkasaan integriti dalam kalangan pegawai dan anggota polis melalui pendekatan kerohanian serta psikologi.
"JIPS mahukan pegawai dan anggota polis menjauhi rasuah bukan kerana takut kepada tindakan undang-undang dan peraturan tetapi takut untuk melakukan perkara itu kerana kesedaran sendiri (kawalan kendiri)," katanya.
Oleh itu, beliau berkata JIPS sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi bergabung idea merangka modul latihan pembangunan modal (integriti) terutama kepada pelatih-pelatih yang sedang mengikuti kursus asas kepolisan di pusat-pusat latihan polis.
Azri berkata JIPS juga memberi penekanan dan gerakan berterusan menerusi kursus, latihan dalam perkhidmatan serta program kerohanian kepada semua lapisan warga PDRM sama ada di peringkat petugas barisan hadapan mahupun pegawai pembuat keputusan.
"Ini termasuk memperluas elemen gerak kerja melalui latihan dan program pemulihan bagi pemulihan intervensi mengenai pengurusan kewangan dalam memerangi rasuah.
"Sasaran utama adalah kepada warga PDRM yang dikenal pasti mempunyai permasalahan secara berterusan termasuk pengurusan stres serta emosi dalam kehidupan seharian khususnya semasa penugasan," katanya.
Menurutnya usaha itu bagi memastikan konsep hukuman ke atas akauntabiliti penyelia atau ketua dipraktikkan secara tegas agar semua arahan dikeluarkan dipatuhi anak buah masing-masing.
-- BERNAMA