JIP terima sumbangan van baharu, pembakar semangat terus bantu insan memerlukan

Aida Aziz
Ogos 7, 2022 12:05 MYT
Penyerahan van kepada pihak JIP dibuat Ismail (lima, kiri) di Pusat Jualan Toyota, Jalan Kuala Kangsar, Ipoh, baru-baru ini. Turut kelihatan, Muhammad Don (dua kiri). - Foto Astro AWANI
IPOH: Pertubuhan Jalinan Insan Prihatin (JIP) Batu Gajah menerima sumbangan sebuah van Toyota Hiace baru-baru ini, bagi meneruskan kerja-kerja amal kebajikan di sekitar Perak.
Menurut Pengerusi JIP, Muhammad Don Abdul Rahman, dengan sumbangan tersebut, ia dapat membantu JIP memperluaskan lagi khidmat dan kerja amal dalam membantu golongan yang memerlukan.
Penyerahan van dibuat Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bina Upaya (YBU), Datuk Ismail Safian di Pusat Jualan Toyota, Jalan Kuala Kangsar, di sini.
"Alhamdulillah, semoga semuanya sentiasa dipermudahkan. Kalau dulu, yang mengikuti (kerja amal) akan duduk bersila di belakang (kenderaan), kini mungkin tidak lagi.
"Terima kasih tidak terhingga juga buat beberapa orang yang nama mereka tidak disebutkan di sini. Tanpa mereka, peristiwa hari ini mungkin tidak jadi kenyataan," kata Muhammad Don, sambil mengucapkan terima kasih kepada Ismail dan pasukannya.
Hadir sama dalam sesi penyerahan itu, Datuk Aminuddin Md Hanafiah, yang juga merupakan salah seorang ahli pemegang amanah YBU.
Muhammad Don berkata, kenderaan baharu itu antara lain dapat menjadi pembakar semangat serta memudahkan pergerakan mereka ke lokasi yang memerlukan bantuan.
"Selesai majlis penyerahan, tanpa berlengah, JIP terus bergerak ke Taman Syukur Bercham bagi membuat penghantaran katil.
"Ia bagi memudahkan perawatan seorang pesakit, Ang Tek Yoong, 80 tahun, yang kini terlantar kerana menghidap kanser prostat.
"Untuk makluman, JIP bergerak hampir saban hari, tidak kira siang atau malam. Ada kudrat, kami bergerak. Ada ketikanya, beberapa kenderaan digunakan serentak," jelasnya.
Sumbangan orang ramai juga dialu-alukan untuk JIP membeli peralatan membantu pesakit seperti katil, lampin dewasa, lampin kanak-kanak, concentrator oxygen (mesin oksigen), penyedut kahak, tilam angin dan kerusi roda.
"Sumbangan anda juga dapat membantu membiayai kos operasi kenderaan, penghantaran, pengambilan, pembaikan dan servis peralatan. Walaupun hanya RM10, ia membantu," katanya.
#kerja amal kebajikan #Jalinan Insan Prihatin Batu Gajah #sumbangan van #Yayasan Bina Upaya
;