#JimatRaya - Gelagat warga kota berbelanja saat akhir
Arfa Yunus
Ogos 9, 2013 16:17 MYT
Ogos 9, 2013 16:17 MYT
Bagaimana cara untuk berjimat semasa membeli belah untuk persiapan Hari Raya? Pergilah ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada malam raya untuk potongan harga yang berlipat kali ganda.
Tetapi awas. Mungkin ramai yang tidak mengetahuinya tetapi sebenarnya masih ramai warga kota yang berada di sini dan suasana di Jalan TAR pada malam raya amat sesak.
Ribuan pengungjung membanjiri gerai-gerai yang menawarkan pelbagai jenis barangan dan diskaun di saat-saat akhir.
Kaum Melayu, Cina dan India semuanya turut memeriahkan suasana di Jalan TAR. Jelas kelihatan perpaduan dan semangat 1Malaysia dikalangan mereka walaupun berada dalam kepenatan membeli belah di tengah malam.
Berbagai gelagat dapat dilihat samada dari pengunjung mahupun penjual. Aksi seorang kanak-kanak perempuan yang sedang menolong ibunya menjual pakaian raya amat mencuti hati.
Klik video untuk melihat gelagat gadis cilik tersebut serta warga ibu kota berpusu-pusu membeli belah di Jalan TAR
Ditengah-tengah kesibukkan rakyat Malaysia membeli belah menjelang Hari Raya Aidilfitri, warga ibu kota seolah-olah terlupa akan tanggungjawab masing-masing untuk memastikan kota raya tercinta kekal bersih.
Longgokan sampah berada di merata tempat walaupun terdapat pegawai-pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar kawasan Jalan TAR itu.
Sepanjang Jalan TAR, tong sampah tidak banyak disediakan dan pengunjung rata-ratanya membuang sampah sarap di tepi-tepi jalan dan longkang.
Peniaga pula hanya melonggokkan sampah sarap di dalam beg plastic hitam di bahagian belakang gerai mereka.
Suasana yang kotor ini memberi gambaran buruk kepada warga kota disamping bau yang tidak menyenangkan.
Longgokan sampah di sekitar Jalan TAR
Walau apa sekali pun, Hari Raya tahun ini pasti akan membawa kegembiraan kepada semua. Sama ada beraya bersama keluarga, sahabat handai ataupun rakan sekerja seperti kami di Astro AWANI, sambutan Hari Raya tetap meriah dan membawa seribu makna.
Selamat Hari Raya Aidilfitri buat seluruh umat Islam di serata dunia!