JIM Perak selamatkan 33 warga Bangladesh daripada eksploitasi majikan

Aida Aziz
Jun 25, 2024 11:55 MYT
Sebahagian daripada 33 lelaki warga Bangladesh yang ditahan dalam pemeriksaan di tiga premis di Manjung menerusi Op Serkap dan Minyak oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak pada Isnin. - Gambar JIM Perak
IPOH: Seramai 33 lelaki warga asing ditahan dalam pemeriksaan di tiga premis di Manjung menerusi Op Serkap dan Minyak oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak pada Isnin.
Menurut Pengarah JIM Negeri Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, kesemua yang ditahan merupakan warganegara Bangladesh berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun.
Katanya, operasi tersebut dijalankan di kedai cuci kereta sekitar Manjung.
"Operasi bermula jam 3.30 petang dan tamat 5 petang pada Isnin.
"Serbuan dibuat berdasarkan aduan dan hasil pemantauan serta risikan yang telah dijalankan oleh Unit Risikan dan Operasi JIM Perak di tiga lokasi tersebut.
"Dengan kekuatan anggota seramai 18 orang Pegawai Imigresen, pemeriksaan dijalankan ke atas 35 orang warga negara asing.
"Daripada jumlah itu, 33 daripadanya ditahan kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Justeru katanya, kesemua 33 warga Bangladesh tersebut ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi siasatan dan tindakan lanjut mengikut proses undang-undang di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63.
Mereka didakwa memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu tinggal/ berada dalam Malaysia melebihi tempoh sah pas yang dikeluarkan dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas yang dikeluarkan.
Beliau berkata, siasatan turut dijalankan menjurus di bawah Akta Pemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2002.
"JIM Perak berharap masyarakat dapat membantu dengan membuat laporan atau aduan bagi membantu membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam negara.
"JIM juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau individu yang menggaji atau melindungi PATI termasuk pendakwaan di mahkamah," katanya lagi.
#warga asing #eksploitasi majikan #Imigresen Perak #Op Serkap dan Minyak
;