JIM Negeri Sembilan serbu penempatan haram, 32 ditahan

Bernama
Mac 3, 2023 19:34 MYT
Kennith Tan berkata kesemua mereka yang berumur lingkungan satu hingga 61 tahun itu ditahan menerusi operasi selama kira-kira empat jam yang bermula pada pukul 1 pagi. - Foto Imigresen Negeri Sembilan
SEREMBAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan menahan 32 pendatang tanpa izin termasuk 15 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan dalam serbuan di sebuah penempatan haram berhampiran Bandar Ainsdale di sini, awal pagi tadi.
Pengarah JIM negeri Kennith Tan berkata kesemua mereka yang berumur lingkungan satu hingga 61 tahun itu ditahan menerusi operasi selama kira-kira empat jam yang bermula pada pukul 1 pagi.
"Dalam operasi itu, seramai 47 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 32 ditahan, manakala bakinya tidak ditahan kerana mempunyai dokumen perjalanan sah.
"Kesemua mereka dipercayai tinggal di penempatan tersebut sejak beberapa tahun lepas bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata ketika serbuan ada yang cuba meloloskan diri namun gagal dan pasukan operasi juga menemukan beberapa khemah dalam hutan berhampiran yang dijadikan tempat persembunyian mereka.
Tan berkata penempatan seluas kira-kira lebih seekar itu berada di kawasan permukaan tanah tidak rata dan berbukit sehingga mendatangkan risiko kecederaan kepada semua pegawai terlibat yang juga terpaksa berjalan kaki melalui kawasan hutan sejauh satu kilometer ke lokasi.
Beliau berkata antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Katanya kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng di sini untuk tindakan lanjut dan pihaknya sedang mengenal pasti sama ada penempatan berkenaan didirikan atas tanah milik persendirian atau tanah kerajaan negeri yang diteroka secara haram.
"Pihak berkuasa tempatan akan dimaklumkan untuk tujuan perobohan sekiranya ia berada atas tanah milik kerajaan," katanya dan menambah operasi itu dilaksanakan selepas dua minggu risikan.
-- BERNAMA
#warga asing #Depot Imigresen Lenggeng #Akta Imigresen 1959 63 #dokumen pengenalan diri
;