JIM, KDN teroka penggunaan kod QR di pintu masuk negara
Bernama
Mei 13, 2024 13:50 MYT
Mei 13, 2024 13:50 MYT
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneroka kaedah penggunaan kod respons pantas (QR) di beberapa pintu masuk utama negara bagi menangani isu kesesakan.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata kajian mengenai penggunaan kod QR di pintu masuk negara telah dibuat dengan fasa sekarang adalah fasa pengujian.
Menurutnya, fasa pengujian kod QR di beberapa lokasi pintu masuk utama negara akan diumumkan oleh KDN nanti.
"Salah satu komitmen di JIM dan KDN adalah menangani kesesakan di pintu masuk utama negara.
"Pengumuman mengenai perkara ini akan dibuat oleh KDN kerana ia masih di peringkat awal, perkara ini masih belum dilaksanakan tetapi perincian nanti, KDN akan buat pengumuman selepas ini," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Pada 3 Dis lepas, Kerajaan Negeri Johor mencadangkan agar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pelaksanaan kaedah digital sistem QR Code, sama seperti Singapura, bagi pergerakan keluar masuk Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di negeri itu.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ini merupakan salah satu daripada tiga cadangan kerajaan negeri dalam usaha kerajaan Malaysia dan Singapura menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Ruslin berkata JIM dan KDN komited melaksanakan inisiatif berterusan bagi menangani isu kesesakan di pintu masuk utama negara bukan sahaja di Johor Bahru tetapi di pintu masuk melalui udara.
"Perkara yang menjadi keutamaan adalah bagaimana kita hendak mencari satu proses yang memudahkan dan mempercepatkan tanpa kompromi dari aspek keselamatan," katanya.
-- BERNAMA