"Jika tidak dipolitikkan, isu air Selangor dah lama selesai"
Haider Yutim
Februari 27, 2014 18:15 MYT
Februari 27, 2014 18:15 MYT
Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) hari ini berkata masalah kekurangan air yang berlaku di negeri Selangor sepatutnya telah lama selesai sekiranya isu tersebut tidak dipolitikkan.
Pengerusi GPRS, Datuk Sohaimi Shahadan dalam satu kenyataan pada Khamis berkata penyelesaian isu air yang mengambil masa sejak 2008 itu turut memberi kesan kepada negara.
"Penyelesaian berhubung isu air di Selangor sejak 2008, bukan sahaja telah menjejaskan industri perkhidmatan bekalan air di negeri berkenaan, malah memberi kesan kepada negara berikutan projek-projek pembangunan baharu tidak dapat dimulakan disebabkan ketiadaan bekalan air," katanya.
Badan bukan kerajaan (NGO) itu bagaimanapun menyambut baik langkah kerajaan negeri Selangor yang akur untuk membenarkan projek pelaksanaan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang telah tertangguh selama hampir enam tahun yang lalu.
Kata Sohaimi, meskipun keputusan itu agak lewat namun ternyata ia mengutamakan agenda kepentingan rakyat Selangor berbanding mengutamakan agenda politik kepartisan sendiri.
"Bagi mereka yang pernah melalui kegawatan krisis air 1998 tentu tahu betapa sukarnya kehidupan bila berhadapan dengan krisis air, saban hari terpaksa menanti lori tangki air untuk ditadah manakala aktiviti ekonomi terbantut dan kilang-kilang pula terpaksa mengurangkan waktu operasinya," kata beliau.
Oleh yang demikian, Sohaimi mengajak agar semua pihak mengenepikan politik kepartian untuk sama-sama menangani masalah air yang supaya orang ramai dapat meneruskan kehidupan dan menjalani aktiviti seharian dengan selesa.
Selain itu, beliau juga menggesa agar pembinaan projek Langat 2 itu dipercepatkan kerana dikhuatiri akan timbulnya masalah sekiranya ia tidak disegerakan.
"Segerakan pembinaan Langat 2 untuk kebaikan bersama bagi menghadapi waktu-waktu mendatang. Jangan nanti bila ditimpa bencana barulah kita mahu menyesal kerana tika itu penyesalan tiada gunanya lagi," tegasnya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Publisiti MCA Wilayah Persekutuan, Lau Chin Kok berkata tindakan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor mempolitikkan isu air telah mengakibatkan negeri itu mengalami kekurangan air setiap tahun.
"Projek tersebut (Langat 2) telah dipolitikkan oleh Pakatan selepas mereka mengambil alih Selangor pada 2008 dan projek itu telah tertangguh selama lebih lima tahun yang mengakibatkan krisis air setiap tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya tindakan PR 'mengugut' kerajaan Persekutuan mengaitkannya dengan kebajikan orang ramai serta menganggap projek itu sebagai pengambilalihan komersil, adalah tidak bertanggungjawab.
"Daripada insiden ini, rakyat harus fikir semula samada peranan yang dimainkan Pakatan selama ini adalah membina ataupun hanya hidup dalam pemikiran untuk menentang semata-mata untuk menentang sebagai parti yang berkuasa di Selangor. Mereka telah terus mempolitikkan setiap isu dan bukanya menepati janji kepada rakyat," kata Lau.
Namun. beliau memuji langkah yang diambil oleh Selangor dan Putrajaya dan berkata ianya mampu menangani krisis air di Selangor dan Kuala Lumpur.
Kerajaan Persekutan dan kerajaan negeri Selangor pada Rabu akhirnya telah mencapai kata sepakat berhubung penyelesaian isu air yang membelenggu penduduk di negeri itu.
Ia dicapai selepas kedua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman, MOU bagi menyelesaikan isu berkenaan.
MOU ditandatangani Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya.
MOU tersebut membolehkan kerajaan Selangor melaksanakan penstrukturan semula industri bekalan air di Negeri itu bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan bekalan air di Selangor dan mengambilkira bekalan air yang lebih mampan di Kuala lumpur dan Putrajaya.
MOU itu juga memastikan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan, LRAL2 dapat diteruskan bagi menjamin bekalan air berterusan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.