Jika tidak bersidang, Ahli Parlimen hanya luah masalah di media sosial - Noor Hariri
Rahimah Abdullah
Mac 3, 2021 12:38 MYT
Mac 3, 2021 12:38 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyegerakan persidangan Parlimen bagi mengangkat suara rakyat dalam medium yang sepatutnya.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, sekiranya Parlimen tidak bersidang, wakil rakyat terpaksa menggunakan media sosial sebagai saluran masalah rakyat.
"Persidangan Parlimen perlu dibuat bagi memberi peluang kepada Ahli Parlimen untuk suarakan permasalahan rakyat.
"Dewan Rakyat medan rasmi untuk Ahli Parlimen berhujah. Sekiranya Parlimen tidak bersidang, Ahli Parlimen hanya ada media sosial sebagai medan luahan suara hati," katanya.
Bercakap ketika dihubungi Astro AWANI hari ini, Noor Hariri berkata, kerajaan tidak perlu takut untuk mengadakan sidang Parlimen pada waktu terdekat.
"Ini kerana, kita dikhabarkan dalam sehari dua ini, sudah ramai Ahli Parlimen pembangkang dari PKR yang menyeberang dan menyokong Perikatan Nasional (PN).
"Jadi, tidak timbul soal perlu takut atau tidak," tambahnya.
Pada Selasa, Pengasas Bersama dan Pengarah Advokasi Undi18, Tharma Pillai turut menggesa kerajaan mempercepatkan dan menyatakan dengan jelas tarikh sidang Parlimen.
Noor Hariri berkata, beliau amat setuju kerajaan menetapkan segera tarikh sidang Parlimen, menyifatkan langkah itu selaras amalan demokrasi berparlimen di Malaysia.
"Sidang ini penting, bagi memberi gambaran kepada rakyat serta pelabur asing, mengatakan Malaysia masih lagi mengamalkan demokrasi berparlimen.
"Ia meletakkan Ahli Parlimen sebagai penyumbang utama perjuangan suara rakyat dalam medium yang sepatutnya, iaitu Dewan Rakyat," tambahnya.
Malah, titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat memberi isyarat baginda amat mementingkan keluruhan perlembagaan, kata Noor Hariri.
"Yang di-Pertuan Agong memberi peluang kepada Ahli Parlimen menyuarakan permasalahan rakyat dalam sidang Parlimen, bukannya menjadikan media sosial medan suarakan hak rakyat.
"Sebab itulah, untuk mengurangkan ketegangan suhu politik ini, Yang di-Pertuan Agong berpandangan sebegitu, di samping ia termaktub dalam perlembagaan sebagai hak Ahli Parlimen," ujarnya.
Sebelum ini, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, Dewan Rakyat tidak akan bersidang pada 8 Mac ini kerana ia adalah tarikh takwim asal yang tidak lagi terpakai setelah Ordinan Darurat dikuat kuasakan.
Pada 24 Feb lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al'Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat walaupun ketika Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19.
#Dewan Rakyat
#Parlimen
#bersidang
#Malaysia
#UMNO
#Pemuda UMNO
#Yang di-Pertuan Agong
#media sosial
#politik
#kerajaan
#Astro Awani
#Astro
#pembangkang