Jika tiada langkah susulan akibat PKP, ekonomi negara akan rosak - PM Muhyiddin

Firdaus Azil
April 25, 2020 22:28 MYT
Muhyiddin sedar impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bakal memasuki fasa ke-empat ini amat besar sekali. - Gambar fail
Dalam usaha mengawal kesihatan dan nyawa rakyat dari terus terdedah kepada wabak COVID-19, kerajaan juga harus berhati-hati dalam menangani impak virus itu ke atas ekonomi negara ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sedar impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bakal memasuki fasa keempat ini amat besar sekali, termasuk kerugian RM2.4 bilion sehari akibat penutupan perniagaan.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa, jika tiada langkah susulan, sudah pasti ekonomi negara ini yang dibangunkan sejak enam dekad lamanya, akan rosak.
“Sebab itu kita mengambil satu langkah yang agak berani, iaitu langkah yang tidak pernah kita lakukan sebelum ini.
“Walaupun Menteri Kewangan kita orang baru, dan waktu dia menyertai kabinet, saya minta segerakan kerja itu dalam tempoh dua minggu, iaitu membuat satu perancangan tentang berapa jumlah wang yang harus kita sediakan, dan bentuk pakej rangsangan yang harus kita sediakan,” katanya lagi.
Atas sebab itu, beliau berkata, lahirlah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dalam dua fasa, iaitu fasa pertama melibatkan RM250 bilion, dan fasa kedua RM10 bilion, khusus untuk menangani impak COVID-19 ke atas negara.
“Tujuan kita untuk apa? Tujuannya supaya kedudukan ekonomi kita jangan sampai teruk sekali. Ini pun dikata pakej rangsangan, untuk relief, datang dalam satu bentuk untuk satu jangka yang tidak terlalu panjang, mungkin antara tiga sehingga enam bulan sahaja.
“Itu pun menyebabkan satu jumlah rangsangan dari segi fiskal hampir RM35 bilion, dan bentuk bukan fiskal seperti cukai dan yang lain-lain pun hampir beberapa puluh bilion yang terpaksa kita sediakan, demi membantu siapa-siapa yang terlibat dalam industri, dalam bentuk perniagaan, membolehkan mereka bertahan dalam satu tempoh yang lama sedikit,” katanya lagi.
Muhyiddin berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif bersama Editor Astro AWANI Essan Yahya, dan penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Zaleha Khairene Ismail di Bangunan Putra Perdana, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau akui pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi bukan bermakna ia mampu memulihkan ekonomi negara seperti sedia kala, sebaliknya kerajaan akan terus mengkaji sama ada perlukah lagi suntikan fiskal, atau usaha lain di masa akan datang.
“Sebab itu tidak boleh kita elakkan, (maka) kita perlu menentukan dalam kita nak menjaga, memelihara kesejahteraan rakyat dari penyakit wabak COVID-19, kita juga nak memastikan supaya ekonomi kita akan mampu bertahan dalam satu jangka masa yang agak berpatutan,” katanya lagi.
#COVID-19 #cukai #ekonomi #kabinet #kerajaan #kesihatan #koronavirus #Muhyiddin Yassin #pakej rangsangan ekonomi #Perdana Menteri #PM #Tengku Zafrul
;