Jika tiada keperluan mendesak, jangan keluarkan simpanan KWSP - Penganalisis ekonomi
Azizah Alwi
Jun 29, 2021 16:42 MYT
Jun 29, 2021 16:42 MYT
KUCHING: Pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi Program i-Citra harus mengambil kira keperluan penting selain sekiranya keadaan mendesak.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Madya Dr Dayang Affifah Awang Marikan berkata bagaimanapun ia turut berbalik kepada tujuan pengeluaran wang persaraan tersebut khususnya bagi golongan yang memerlukan.
“Jika tiada keperluan, maka tidak perlulah bagi mereka ini untuk mengeluarkan wang dari KWSP, ia boleh digunakan masa tua.
“Namun jika ia dikeluarkan untuk tujuan pelaburan, pencarum perlu memikirkan kaedah serta risikonya,” kata ketika ditemui Astro AWANI pada Selasa.
Selain itu, beliau menasihati rakyat yang terjejas tidak terikut-ikut dengan tindakan mengeluarkan wang tersebut membuta tuli.
“Tujuan penggunaan sumber kewangan masa sekarang perlu seimbang dengan penggunaan kelak, dan hari bersara tidak harus diabaikan meskipun mempunyai peluang untuk mengeluarkan wang tersebut walau belum tiba masa sepatutnya (55 tahun),” katanya.
Menyedari situasi sukar yang akan dihadapi rakyat susulan pelanjutan PKP, Dr Affifah berkata pengeluaran wang KWSP bukan jalan keluar altenatif terakhir sebaliknya kerajaan masih ada sumber lain untuk membantu rakyat.
“Perlu ada inisiatif lain daripada kerajaan agar kebergantungan kepada wang KWSP ini tidak diteruskan kerana kita harus ingat bahawa wang KWSP ini adalah simpanan masa tua dan Malaysia sedang menuju ke arah ‘aging society’ pada tahun 2030,” ujarnya.
Kerajaan katanya mempunyai dana terkumpul yang boleh digunakan untuk membantu golongan B40 dan M40 yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PEMULIH) yang mana Program i-Citra turut disenaraikan dalam inisiatif baharu itu.
Ahli KWSP boleh mengeluarkan RM5,000 dari akaunnya yang akan disalurkan secara berperingkat selama lima bulan.