"Jika terjatuh, terus bangkit .. biarpun berkali-kali" - Pesan Arshad Ayub kepada keluarga

Firdaus Azil
Jun 14, 2022 17:54 MYT
Bagi Datin Seri Azlin Arshad, itu adalah azimat dan pesanan yang beliau dan ahli keluarga Allahyarham Tun Arshad Ayub akan pegang selagi badan dikandung hayat, kerana nasihat itu legasi yang tidak ternilai harganya. - Astro AWANI/Shahir Omar
SHAH ALAM: Jika terjatuh dalam longkang 10 kali, bangkitlah 10 kali... Jika jatuh dalam longkang 100 kali, terus bangkit 100 kali.
Jika langsung tidak berbuat apa-apa, dan longkang itu dipenuhi dengan limpahan air akibat hujan deras, nescaya akan kelemasan.
Bagi Datin Seri Azlin Arshad, 47, itu adalah azimat dan pesanan yang beliau dan ahli keluarga Allahyarham Tun Arshad Ayub akan pegang selagi badan dikandung hayat, kerana nasihat itu juga merupakan legasi ayahnya yang tidak ternilai harganya.
Takziah | Semoga legasi yang ditinggalkan dibawa ke Akhirat – Datin Seri Azlin
“Pesanan itu memang saya tak akan lupa. Macam mana susahnya sesuatu keadaan, kita hadapi kegagalan, dia selalu percaya kepada peluang kedua. He believed he has been given that second chance.
“Itu yang kita berpegang... kepada apa yang dia dah tunjuk ajar kepada kita, dan dia selalu mengingatkan kita bahawa dalam kehidupan ini, memang ada orang yang tolong kita untuk kita mencapai kejayaan.
If you fail, get up. Never give up. Always remember people have helped you to get where you are, you aren’t alone,” katanya lagi.
Azlin berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI selepas selesai pengebumian ayahnya di Makam Diraja Shah Alam, hari ini.
Terdahulu, jenazah Allahyarham, yang meninggal dunia kira-kira 2.06 pagi ini, telah dibawa dari Hospital Pakar KPJ Damansara ke Masjid Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya untuk solat jenazah.
Selesai dikebumikan, Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya mengambil tempat untuk bacaan talkin ke atas Allahyarham.
Isteri Allahyarham, Toh Puan Zaleh Mohd Arshad kemudian diiringi keluarganya untuk menyiram air mawar di atas pusara Allahyarham.
Dalam pada itu, Azlin, yang juga anak keenam dari tujuh adik beradik berkata, beliau pagi pihak keluarga Allahyarham amat berterima kasih kepada kesemua pihak yang tidak putus-putus mengirimkan doa selepas mengetahui ayahnya dalam keadaan tenat.
“Legasi Allahyarham (dalam bidang pendidikan dan pembangunan negara), Insya-Allah sampai ke akhirat akan membawa manfaat kepada dia. Dan oleh kerana legasi itu, hari ini segala urusan, kami terima banyak pertolongan macam-macam pihak.
“Kami amat berterima kasih kepada pihak berkenaan, dan kami juga amat terharu sebab sebelum ini dua tiga hari lepas, orang ramai tahu dia dah sakit, ramai hulurkan bacaan Yasin dan doa selamat. Kami satu keluarga ucapkan terima kasih banyak-banyak kerana sentiasa menyimpan dia dalam doa,” katanya lagi.
#Azlin Arshad #Tun Arshad Ayub #meninggal dunia #legasi
;