Jika seruan Majlis Raja-Raja diingkari, rakyat juga yang terima padah - Chandra

Ashwad Ismail
Oktober 7, 2015 08:14 MYT
CHANDRA: Betapa pentingnya semua pihak, terutama pihak eksekutif berpegang kepada prinsip amanah. -Gambar fail
Yayasan 1Malaysia menggesa para pemimpin supaya mendengar dan memberi perhatian penuh kepada setiap titah Majlis Raja-Raja yang mahu kerajaan menyelesaikan segera siasatan berkaitan isu 1Malaysia Development Sdn Bhd (1MDB).
Pengerusinya, Dr Chandra Muzaffar menegaskan sekiranya pendirian dan kebimbangan Majlis Raja-Raja dipandang sepi oleh pemimpin, rakyat akan menerima akibatnya.
"Betapa pentingnya semua pihak, terutama pihak eksekutif, berpegang kepada prinsip amanah.
Inilah mesej yang disampaikan oleh Majlis Raja-Raja," kata Chandra ketika dihubungi Astro AWANI.
Chandra, kenyataan dan pendirian tersebut ada impaknya terhadap rakyat Malaysia.
Kini, katanya, terpulanglah kepada mereka yang berada di tampuk kuasa untuk melaksanakan langkah yang sepatutnya.
"Negara kita sedang berada di persimpangan.
"Kepimpinan negara perlu lakukan apa yang betul daripada segi moral, sekarang," tambah Chandra yang juga Presiden Gerakan Untuk Keadilan Sejagat (JUST).
Beliau mengulas kenyataan Majlis Raja-Raja yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad pada Selasa.
Antara lain, Majlis Raja-Raja menggesa kerajaan menyelesaikan siasatan isu 1MDB secepat mungkin dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terbabit.
#1MDB #chandra muzaffar #Gerakan Untuk Keadilan Sejagat #JUST #Majlis Raja-Raja #Syed Danial