'Jika selamanya bertahan, akan beri kesan' - KPDNHEP sokong boikot barangan EU

Azyyati Ahmad
Mac 25, 2019 20:26 MYT
Saifuddin Nasution berkata sudah tiba masanya langkah berkenaan diambil sebelum ia dikhuatiri memberikan kesan kepada eksport komoditi negara. -Gambar fail
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyokong kenyataan perdana menteri untuk mengambil tindakan termasuk memboikot beberapa barangan dari Kesatuan Eropah (EU) sekiranya sekatan terhadap minyak kelapa sawit dari negara ini diteruskan.
Kata menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sudah tiba masa langkah berkenaan diambil sebelum ia dikhuatiri memberikan kesan kepada eksport komoditi negara.
“Pelbagai ikhtiar telah kita mulakan, sehinggalah ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ahad menyebut perlunya tindakan diambil.
“Jika kita selamanya bertahan, akan memberikan kesan. Jadi saya percaya perkara itu sebenarnya telah disentuh banyak kali, dalam mesyuarat jemaah menteri bila tajuk kelapa sawit ini dan saya ikut menyokong kenyataan perdana menteri dalam perkara ini,” katanya.
Beliau turut memuji usaha yang dilakukan Menteri Industri Utama, Teresa Kok dalam membawa isu minyak kelapa sawit ke peringkat antarabangsa dengan baik sekali.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Citarasa Malaysia - Hari Bersama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Putrajaya, hari ini.
Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ahad berkata akan bertindak balas termasuk kemungkinan membeli pesawat pejuang dari China sekiranya Kesatuan Eropah (EU) terus mengenakan sekatan terhadap minyak kelapa sawit dari negara ini.
Tegas Dr Mahathir, sekatan yang dilakukan barat adalah semata-mata bagi menjaga kekayaan ekonomi EU tanpa memikirkan kebajikan lebih 600,000 pekerja ladang kelapa sawit.
#eksport komoditi negara #EU #Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna #Kesatuan Eropah #KPDNHEP #minyak kelapa sawit #Saifuddin Nasution Ismail #Teresa Kok
;