Jika sekolah boleh beroperasi, tiada sebab mengapa Parlimen tidak bersidang - IDEAS

Nailah Huda
Februari 26, 2021 16:04 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh mendesak agar Parlimen kembali bersidang secepat mungkin supaya tugas wakil rakyat dapat diteruskan.
KUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh perintah darurat.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tricia Yeoh mendesak agar Parlimen kembali bersidang secepat mungkin supaya tugas wakil rakyat dapat diteruskan.
“Nasihat daripada Agong ini tepat pada masanya. Tuanku dengan jelas menyatakan bahawa baginda bersetuju dengan perintah darurat pada Januari lalu semata-mata sebagai satu langkah proaktif untuk mengekang wabak dan sidang Parlimen sememangnya boleh diadakan ketika darurat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat,
Menurut beliau, kerajaan tidak melaksanakan sebarang dasar baharu di bawah perintah darurat bagi mengekang pandemik ini yang tidak dapat dilaksanakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kata Tricia, perkara itu menimbulkan persoalan mengapa perintah darurat perlu diisytiharkan.
“Parlimen serta semua Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu kembali bersidang secepat mungkin untuk memastikan para wakil rakyat dapat menjalankan tugas mereka.
“Jika sekolah dan persidangan dapat kembali beroperasi tidak lama lagi, tidak ada sebab mengapa Parlimen tidak boleh bersidang.
“Bahkan, vaksinasi juga sudah dimulakan dan Ahli-ahli Parlimen diberikan keutamaan sebahagian daripada Fasa 1, semakin kurang alasan kekhuatiran terhadap jangkitan,” jelas Tricia lagi.
Istana Negara melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin baru-baru ini berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh kembali bersidang semasa tempoh darurat pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.
Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat
#Parlimen #perintah darurat #Yang di-Pertuan Agong #perintah kawalan pergerakan #PKP #pandemik #darurat #Tricia Yeoh #ideas #Perdana Menteri
;