Jika lelaki sahaja terlibat, ia akan rosakkan Mak Yong - Aktivis

Bernama
September 29, 2019 11:26 MYT
Farok berkata, di Pattani, persembahan Mak Yong masih dikekalkan seperti sediakala. - Gambar hiasan
Cadangan Kerajaan Negeri yang berharap penggiat seni di Kelantan tidak menjadikan peraturan hiburan termasuk Mak Yong sebagai halangan untuk mengembangkan bakat kesenian mereka disambut baik.
Bagaimanapun, seorang aktivitis Mak Yong, Prof Dr. Farok Zakaria berpendapat usaha itu agak janggal sekiranya dilakukan dalam situasi hanya lelaki sahaja yang terlibat dalam pementasan Mak Yong.
"Pada saya, hasrat yang dicadangkan itu bagus, tetapi dalam situasi yang lain, ia sangat pelik dan janggal apabila penggiat Mak Yong lelaki menyanyikan lirik yang biasanya hanya orang wanita sahaja menyanyikan sebelum ini.
"Saya berpendapat jika lelaki bertindak demikian, ia sudah dikira merosakkan Mak Yong. Jadi saya tegaskan saya tetap suka Mak Yong perlu melibatkan wanita," katanya kepada Bernama hari ini.
Farok berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang berkata tiada halangan untuk penggiat seni menjalankan persembahan hiburan termasuk Mak Yong sekiranya mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan.
BACA: Mak Yong muncul semula di Kelantan selepas 28 tahun
Mohd Amar turut berkata setakat ini, Kerajaan Negeri tidak membenarkan wanita terbabit dalam persembahan teater kecuali jika hanya membabitkan penonton wanita saja.
Farok, yang juga mantan Pengarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Insaniah (PBI) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkata, Mak Yong adalah satu seni persembahan warisan di Kelantan yang dipersembahkan dalam masyarakat Kelantan sejak turun-temurun, jadi usahlah merosakkan kriteria dan kaedah persembahan itu.
BACA: Persembahan hiburan: Bukan soal tutup pintu, tetapi perlu ikut peraturan - Mohd Amar
Farok, yang juga Visiting Professor di Universiti Prince of Songkla, Pattani, Thailand, kini masih aktif berkecimpung dalam bidang kesenian Mak Yong.
"Berbeza di Pattani, kita masih mengekalkan persembahan Mak Yong seperti sediakala sebab bagi saya, wanita adalah ciptaan Allah.
"Sehingga sekarang, di Pattani orang masih meminati Mak Yong dan tidak puas melihat persembahan ini," katanya.
BACA: JKKN akan persembahkan tarian Mak Yong ikut syariah
-- BERNAMA
#aktivitis #Farok Zakaria #garis panduan #hiburan #Kelantan #kerajaan negeri #mak yong #Mohd Amar Nik Abdullah #Pattani #pementasan #penggiat seni #penonton wanita #persembahan #Prince of Songkla University #rosak #syariah #Thailand #wanita
;