"Jika Kamarol sudah berada di Malaysia, bantu kami cari Shafa," kata Hafizul
Bernama
April 6, 2017 21:44 MYT
April 6, 2017 21:44 MYT
"Kami merayu jika benar Kamarol sudah berada di Malaysia, tolonglah muncul dan bantu kami cari Shafa," kata Mohamad Hafizul Razali yang kini berada di Jakarta untuk mencari adik iparnya itu.
Abang ipar kepada Mohamad Shafa Ahmad itu berkata, mereka mendapat maklumat kononnya Kamarol Arifin Mohamad Darus yang dilaporkan hilang bersama-sama adiknya di Jakarta telah dikesan pulang ke tanah air kerana pasportnya menunjukkan Kamarol telah melepasi imigresen di Johor Bahru kelmarin.
"Tetapi Kamarol dipercayai pulang seorang diri dan tidak menghubungi keluarganya sehingga sekarang... kami sangat hairan dan kami sangat perlu bantuan dia untuk cari Shafa untuk ceritakan apa yang sebenarnya berlaku," katanya ketika ditemui Bernama di Kedutaan Besar Malaysia di sini.
Mohamad Hafizul berkata beliau dan dua rakannya telah berada di Jakarta sejak semalam sebagai usaha mencari adik iparnya dan setakat ini masih belum mendapat petunjuk daripada mana-mana pihak.
Katanya, mereka akan berada di Jakarta sehingga Ahad ini dan setakat ini telah meronda di semua tempat yang sepatutnya Mohamad Shafa kunjungi seperti kawasan hotel yang ditempah, pusat beli-belah Tanah Abang dan sekitarnya.
Mohamad Shafa, 29, dan Kamarol Arifin Mohamad Darus, 27, masing-masing bekerja sebagai penghantar surat dan juruteknik kilang dilaporkan hilang selepas tiba di Jakarta dengan menaiki pesawat AirAsia pada 2 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Dua sahabat baik itu berasal dari Kampung Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Selangor dilaporkan hilang di Jakarta sejak 30 Mac lalu dan mereka mengunjungi ibu kota itu untuk menonton konsert Dj Armin Van Buuren di Jakarta International Expo di sini.
Kedua-dua mereka tidak menghubungi keluarga sejak tiba di Jakarta dan juga dilaporkan tidak mendaftar masuk ke hotel yang ditempah.
Mohamad Hafizul berkata, setakat ini semua anggota keluarga begitu risau dan keliru kerana jika benar Kamarol telah pulang, kenapa tidak bersama Mohamad Shafa dan tidak menghubungi keluarganya.
Bertambah menghairankan kenapa Kamarol dikesan pulang melalui Johor Bahru sedangkan mereka telah membeli tiket untuk pulang melalui klia2.
Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata pihak kedutaan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan kedua-duanya. -- BERNAMA