Jika boleh, elak hidang makanan semasa mesyuarat selepas makan tengah hari - KSN

Bernama
April 5, 2017 15:50 MYT
Ali menggesa menggesa semua 1.6 juta penjawat awam agar turut memainkan peranan dalam kempen MYSaveFood yang membawa slogan "Hentikan Pembaziran, Hentikan Kelaparan" dengan mengelak pembaziran makanan. Gambar hiasan
Elakkan menghidang makanan untuk mesyuarat kementerian atau jabatan terutama yang diadakan sejurus makan tengah hari supaya tidak membazir, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata berdasarkan pemerhatiannya dalam sebahagian mesyuarat, makanan yang dihidangkan langsung tidak disentuh yang akhirnya membawa kepada pembaziran.
"Jika anda dapat elak perkara itu dan jika boleh jangan hidang apa-apa (makanan) terutama jika anda perlu menghadiri mesyuarat sebaik selepas makan tengah hari. Kita perlu berhenti hidang makanan, mungkin hanya air mineral jika perlu," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan kempen MYSaveFood untuk penjawat awam di sini hari ini, Ali berkata beberapa kementerian telah mengamalkan konsep berkenaan dan agensi-agensi lain adalah digalakkan untuk mencontohinya.
Katanya kementerian tidak perlu mengeluarkan garis panduan mengenai langkah itu namun memadai bagi ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan menjadikan amalan itu sebagai matlamat organisasi masing-masing.
Ali dalam pada itu menggesa menggesa semua 1.6 juta penjawat awam agar turut memainkan peranan dalam kempen MYSaveFood yang membawa slogan "Hentikan Pembaziran, Hentikan Kelaparan" dengan mengelak pembaziran makanan.
"Kempen ini bukan sahaja untuk penjawat awam tetapi juga untuk membawa kesedaran kepada keluarga masing-masing dengan mencapai anggaran sebanyak lima juta orang," katanya.
Kempen yang dimulakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada Mac 2016 itu mensasarkan pengurangan separuh jumlah pembaziran makanan di Malaysia menjelang 2030 selaras dengan objektif "Save Food" peringkat global diterajui Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa Bersatu (FAO).
Ali berkata menurut statistik FAO, kira-kira 21,000 orang meninggal dunia setiap hari akibat kebuluran dan 795 juta orang atau 10 peratus daripada penduduk dunia menghadapi masalah kekurangan zat.
Bagaimanapun, katanya, dunia menghasilkan 1.3 bilion tan metrik sisa organik dengan anggaran kerugian RM4.4 trilion setahun.
Rakyat Malaysia pula dianggarkan membuang 15,000 tan metrik sisa organik setiap hari dengan lebih 3,000 tan metrik adalah sisa makanan yang masih boleh dimakan, melibatkan pembaziran sebanyak RM6 juta, kata Ali.
-- BERNAMA
#Ali Hamsa #Hentikan Pembaziran Hentikan Kelaparan #kempen MYSaveFood #ketua setiausaha negara #makan tengah hari #penjawat awam
;