Jika bergabung dengan Umno, Pas juga seperti orang kafir - Tun Mahathir

Adie Sufian Zulkefli
September 10, 2019 15:07 MYT
Dr Mahathir juga melihat kerjasama di antara kedua-dua parti yang pernah bermusuh sejak sekian lama itu tidak memberikan sebarang makna. - Gambar fail
'Pas juga kafir sekiranya mereka bekerjasama dengan Umno.'
Demikian kenyataan sinis Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang turut meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik kenyataan bahawa Umno kafir sebelum kedua-dua parti itu menjalinkan kerjasama atau memeterai piagam, pada Sabtu ini.
Jelas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, sekiranya Pas tidak menarik balik 'gelaran' itu maka parti tersebut juga disifatkan kafir kerana menjalinkan kerjasama dengan Umno yang pernah dikatakan kafir dahulu.
Dalam masa sama, Dr Mahathir juga melihat kerjasama di antara kedua-dua parti yang pernah bermusuh sejak sekian lama itu tidak memberikan sebarang makna.
“Tidak jadi apa, musuh dulu Umno ini kafir, Pas kata jadi macam mana dia kata kalau kerjasama dengan orang kafir jadi kafir, jadi bila Pas kerjasama dengan Umno, Pas kafirlah sebab dia tidak tarik balik tu kenyataan itu.
“Masih ada Amanat Hadi kata Umno ini kafir jadi dia kerja dengan orang kafir jadi kafirlah. Kalau tidak jadi kafir, buat kenyataan kata kami minta maaf kerana kami silap kata orang Umno ini kafir, sekarang ini dia (Umno) dah Islam balik,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di Alor Setar, pada Selasa.
Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Dr Mahathir berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai Piagam Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO yang bakal dimeterai pada 14 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Program yang berlangsung selama dua hari dengan kemuncaknya pada 14 September itu bakal menyaksikan kedua-dua parti akan menandatangani piagam kerjasama Umno dan Pas oleh kedua-dua Presiden parti berkenaan yang dilihat bakal mengukuhkan blok pembangkang dengan hasrat menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam.
#Abdul Hadi Awang #Alor Setar #Kuala Lumpur #Mahathir Mohamad #Menteri Besar #Pakatan Harapan #PAS #pembangkang #Perdana Menteri #Piagam UMNO-Pas #PWTC #Salahuddin Ayub #UMNO
;