'Jika berdiri atau cangkung, pasti kena tembakan' - Tok Lan kenang tragedi Black Hawk

Sinar Harian
Jun 18, 2022 11:00 MYT
Tok Lan (kanan) bergambar dengan rakan setugas PBB dari Maghribi dan Malaysia. -Foto Sinar Harian
KLUANG: Peristiwa serangan bom mortar militia Jeneral Mohamed Farrah Aidid di lapangan terbang Mogadishu, Somalia pada 14 Jun 1993 tidak pernah lenyap dari ingatan Sarjan (B) Zailan Kadir, 62.
Zailan atau lebih mesra dengan panggilan Tok Lan berkata, militia Farrah Aidid sering kali melancarkan serangan bom mortar pada setiap malam di sekitar Mogadishu.
“Detik bahaya yang pernah saya hadapi adalah pada jam 10 malam, 14 Jun 1993 di mana kem kami dikejutkan dengan serangan beberapa bom mortar militia Farrah Aidid.
“Salah satu bom tersebut pula hampir meragut nyawa saya kerana jarak letupan tersebut berhampiran dengan khemah lokasi saya bertugas,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Bentong, Kluang baru-baru ini.
Bom terkena khemah berhampiran
Tok Lan berkata, beliau segera meniarap dan merangkak untuk menyelamatkan diri apabila terdengar letupan bom tersebut.
“Percikan letupan bom mortar itu terkena khemah berhampiran dan saya terpaksa merangkak sejauh 400 meter dari khemah yang diserang hingga ke pusat perubatan.
Menurut Tok Lan, pada ketika itu beliau ternampak thunder flare warna merah sebagai amaran bahaya supaya askar segera berlindung di lokasi selamat.
“Saya difahamkan militia Farrah Aidid melancarkan serangan itu di atas kenderaan pacuan empat roda.
“Senjata mortar itu pula dibalut dengan kain guni basah agar askar negara lain tidak dapat mengesan lokasi militia Farrah Aidid melancarkan serangan,” katanya.
Beliau memberitahu, selain itu militia Farrah Aidid turut menggunakan senjata jenis general-purpose machine gun (GPMG) untuk menyerang kem tersebut.
“Jika kita berdiri atau mencangkung, pasti akan terkena tembakan itu. Pada ketika itu, saya hanya berserah diri kepada Allah SWT.
"Pada keesokan pagi, kita melihat banyak kesan peluru di dinding, tandas dan sekitar lokasi kem,” jelasnya.
Beliau berkata, lapangan terbang Mogadishu antara kawasan panas yang menjadi sasaran militia Farrah Aidid.
“Kawasan kem kami dikelilingi kem askar Amerika Syarikat (AS), New Zealand dan Mesir yang berada di atas bukit.
“Serangan bom mortar pada malam itu berkemungkinan militia Farrah Aidid beranggapan bahawa kem askar Malaysia itu adalah kem askar AS kerana bendera kedua-dua negara ini mempunyai ciri yang sama,” ujarnya.
Perasaan berbelah bagi untuk pergi ke Somalia
Dalam pada itu, Tok Lan mengimbau kembali detik awal beliau terpilih untuk menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Somalia.
“Pada awalnya perasaan saya berbelah bagi sama ada hendak pergi ke sana atau sebaliknya kerana saya tahu negara tersebut sedang bergolak ketika itu.
“Akhirnya saya nekad untuk menyertai misi ini bersama rakan pasukan dan sebelum pergi ke sana, kami perlu melakukan latihan di Sungai Petani, Kedah,” katanya.
Tok Lan yang pernah bertugas di Batalion ke-3 berkata, beliau bersama rakan pasukan telah pergi ke Somalia dengan menaiki kapal terbang pada 7 Jun 1993.
“Setibanya di lapangan terbang Mogadishu, Somalia, militia Farrah Aidid telah melancarkan serangan ke udara dan kapal terbang yang dinaiki kami terpaksa berlegar-legar di udara kira-kira setengah jam sebelum selamat mendarat di lapangan terbang itu,” ujarnya.
Beliau berkata, keberanian askar Malaysia turut digeruni oleh militia Farrah Aidid.
“Farrah Aidid pernah mendakwa jika mahu berperang, jangan berperang dengan askar Malaysia kerana taktik perajurit Malaysia di medan perang berlainan dengan AS,” katanya.
Tok Lan berkata, beliau ditugaskan di Somalia selama enam bulan 10 hari dan melihat lebih 100 serangan bom mortar di sekitar Mogadishu sepanjang tempoh berkhidmat di negara itu.
Tragedi helikopter Black Hawk
Menurut Tok Lan, ketika tragedi helikopter Black Hawk yang ditembak jatuh oleh militia pada 3 dan 4 Oktober 1993, beliau berada di pos kawalan.
“Seramai 70 anggota elit AS terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu,” katanya.
Beliau berkata, tentera AS telah meminta bantuan kenderaan perisai pengangkut infantri (APC) RPZ Condor Angkatan Tentera Malaysia ketika misi menyelamat tersebut.
“Saya dapat mendengar tembakan dan dentuman bom sepanjang tempoh misi menyelamat di Pasar Bakara kerana jarak pos tempat saya bertugas dengan lokasi ini tidak jauh.
“Kami menerima berita sedih apabila dimaklumkan Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang yang memandu sebuah kenderaan APC dilaporkan terkorban dalam misi ini,” katanya.
Tok Lan terpilih berkhidmat dalam KKD ATM
Tok Lan merupakan anak ketiga daripada lapan beradik itu berkata, beliau mula menjalani latihan selama empat bulan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat Port Dickson pada 1 Januari 1982.
“Saya tiada asas dalam bidang perubatan, namun saya pernah terlibat dalam Persatuan Bulan Sabit Merah ketika peringkat sekolah,” katanya.
Tok Lan berkata, daripada 40 pelatih, hanya beliau seorang sahaja terpilih untuk berkhidmat dalam Kor Kesihatan Diraja (KKD) ATM.
“Rakan sepasukan saya yang lain pula ditempatkan di bahagian lain dalam ATM setelah tamat latihan,” katanya.
Peranan KKD
Menurut Tok Lan, KKD adalah sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan dan pergigian yang berkualiti kepada seluruh warga ATM.
“KKD tergolong di antara kelompok bantuan perkhidmatan yang membantu kelompok tempur dan bantuan tempur dalam aspek menyediakan perkhidmatan kesihatan,” ujarnya sambil menambah pakar perubatan ATM juga setaraf dengan doktor di hospital.
“Mereka adalah pegawai perubatan yang sentiasa dilatih untuk bertugas dalam pelbagai keadaan lebih mencabar,” katanya.
Beliau berkata, ATM juga mempunyai kepakaran dalam semua bidang dan bukannya tertumpu kepada kepakaran untuk berperang sahaja.
“Penglibatan KKD melalui projek-projek jiwa murni dapat membantu kerajaan dalam melaksanakan rancangan pembangunan negara,” katanya.
Operasi pertama buru komunis dalam ladang tebu di Changlun
Tok Lan berkata, beliau ditempatkan di Batalion Empat di Kluang selama 10 tahun.
“Operasi pertama saya sertai adalah di Changlun, Kedah di mana saya ditugaskan untuk mengesan askar komunis di kawasan ladang tebu serta di dalam hutan selama dua bulan,” katanya.
Tok Lan menambah, beliau telah menyertai tujuh operasi sepanjang tempoh 23 tahun perkhidmatan.
“Saya lebih suka keluar dari kem untuk terlibat dalam operasi berbanding duduk dalam kem. Saya akan sertai apa sahaja operasi yang telah diarahkan oleh ATM,” katanya.
Tok Lan kini Ketua Kampung Bentong, Kluang
Tok Lan yang juga Ketua Kampung Bentong sejak empat tahun lalu berkata, penduduk pernah menemui sebutir bom lama peninggalan Perang Dunia Kedua di kawasan kebun kelapa sawit selepas banjir besar melanda kampung itu pada Januari tahun lalu.
“Pada mulanya pekerja kebun itu menyangkakan objek tersebut adalah besi lama yang berkarat, tetapi apabila diteliti bentuknya seakan bom,” ujarnya.
Beliau berkata, penduduk di kampung itu telah beberapa kali menemui bom lama di kawasan kebun sawit.
“Sejak tanah di kawasan kebun sawit itu diteroka pada awal 1986, sudah beratus butir bom lama yang dipercayai digugurkan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua ditemukan.
“Bom lama itu masih tertanam dan tidak meletup kerana tanah di kawasan ini tanah gambut,” katanya.
Sementara itu, beliau telah mengadakan pelbagai aktiviti dan program bermanfaat di kampung tersebut demi mengekalkan semangat bersatu padu dan bekerjasama dalam kalangan penduduk kampung.
Ketika ditanya mengenai nasihat beliau kepada generasi muda, Tok Lan berkata, golongan muda yang mahu berkhidmat dalam ATM perlu mempunyai minat serta persediaan dari segi fizikal dan mental.
“Dalam ATM, ada pelbagai bidang dan tugas, oleh itu golongan muda wajar merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh ATM.
“Saya juga berharap masyarakat khususnya golongan muda agar sentiasa menghayati pengorbanan anggota tentera sama ada yang sudah lama meninggalkan perkhidmatan mahupun masih berkhidmat ketika ini,” katanya yang bersara daripada ATM pada 2 Januari 2005.
*Berita asal disiarkan di Sinar Harian

Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#Black Hawk Down #Mohamed Farrah Aidid #Tok Lan #Mogadishu
;