'Jika ada masa, jenguklah kami...' - Luahan anak-anak yatim

Abd Razak Mohd Ali
Jun 4, 2019 20:27 MYT
Anak-anak yatim dari Maahad Darus Salam dan Asrama Anak Yatim Darus Salam bersama wakil-wakil dari Team Keris Berhad yang hadir memberi sumbangan baru-baru ini. - Astro AWANI
"Sekiranya ada kelapangan, lawatlah kami di rumah anak yatim, walaupun sekejap, sebab kami rindu sangat."
Begitulah permintaan beberapa penghuni Maahad Darus Salam dan Asrama Anak Yatim Darus Salam, Tambun yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri di asrama.
Mereka berharap, ibu bapa atau saudara-mara dapat meluangkan sedikit masa untuk menjenguk mereka ketika Syawal.
Seorang penghuni, Izzanty Motar, 20 tahun, sudah sembilan tahun dia tidak bersapa dengan mana-mana ahli keluarga.
"Saya duduk sini sejak saya Darjah 6, sampai sekarang. Sembilan tahun saya duduk sini, sembilan tahun lah tak balik ke negeri asal.
"Emak, Ayah bercerai. Keluarga pun tak duduk sekali, tak berjumpa sampai sekarang. Emak angkat yang hantar saya ke sini, dia berasal dari Kuala Kangsar.
"Sejak duduk sini, saya tak berhubung dah dengan mak angkat tu," Izzanty menceritakan kisahnya.
Seorang lagi penghuni, Nur Zaiton Basiah Hayati Kasim pula, turut berharap ada saudara-mara yang sudi datang menziarah sempena Aidilfitri ini.
"Saya harap saudara-mara ke datang jenguk saya di sini, saya hendak ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri," ujar gadis 13 tahun itu.
Bagaimanapun, hati penghuni maahad dan asrama tersebut ada sedikit terhibur apabila sebuah syarikat tampil memeriahkan suasana dengan menghulurkan sumbangan makanan, barangan keperluan harian serta duit raya untuk mereka.
Pengarah Team Keris Berhad, Anuar Abu Hassan, berkata ia sangat bermakna bagi mereka kerana dapat peluang menyumbang sedikit sebanyak kepada golongan yang memerlukan.
"Untuk bersama dengan anak-anak yatim pada penghujung Ramadan, menjelang Syawal, adalah satu masa yang amat bermakna kepada kami.
"Kami hadir beramai-ramai hari ini dari Team Keris Berhad untuk bersama-sama meraikan sedikit keriangan bersama-sama anak-anak yatim di Maahad Darus Salam kerana kami memahami status mereka yang amat memerlukan bantuan," ujarnya.
#anak yatim #Asrama Anak Yatim Darus Salam #hari raya #Maahad Darus Salam #Team Keris Berhad
;