'Jika ada depan mata, saya mahu berterima kasih kepada ibu' - anak waris MH370
Hasimi Muhamad
Mac 8, 2019 19:44 MYT
Mac 8, 2019 19:44 MYT
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul – demikian dapat kita gambarkan mengenai suka duka yang terpaksa ditanggung oleh waris-waris MH370, pesawat yang dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, pada tarikh bersejarah 8 Mac 2014.
Ya, hari ini genap lima tahun masyarakat di seluruh dunia memperingati insiden paling misteri dalam dunia penerbangan itu – menunggu dan terus menunggu jawapan yang belum pasti di mana noktahnya.
Astro AWANI berpeluang menyelami isi hati dan perasaan yang disembunyikan oleh salah seorang waris insiden MH370.
Grace Nathan, 29 tahun, merupakan anak kepada Anne Daisy, salah seorang yang berada dalam pesawat itu bersama 238 penumpang dan anak kapal lain, masih merasa detik hitam itu seperti baharu sahaja berlaku.
Dengan nada sebak, Grace memulakan luahan isi hatinya dengan berkata, “selepas lima tahun penantian kami (waris) merasakan seperti tidak bergerak (jawapan), sama seperti tahun pertama. Masih teringat ketika pertama kali menerima panggilan telefon.
“Masih tidak tahu dan tersangkut dan tidak boleh bergerak ke depan. Memang kita menjalani kehidupan seperti biasa tetapi emosi masih lagi pada tahun 2014,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.
Sepanjang perbualan bersama Grace, jauh di sudut hati wanita itu beliau masih menaruh harapan yang tinggi bahawa suatu hari akan ada sinar di hujung terowong.
Namun seperti waris-waris lain, Grace tidak mampu berbuat apa-apa, hanya redha dengan ketentuan Illahi.
“Bagai luka yang tidak boleh disembuhkan dan (insiden) itu bukan dalam kawalan kita. Saya sendiri tidak boleh menyelam ke dalam laut untuk pergi mencari kapal.
“Tetapi apa yang saya dapat lakukan adalah mengingatkan rakyat Malaysia bahawa ini merupakan satu peristiwa yang kita tidak boleh lupakan, bukan kerana ia sudah berlaku dan waris, tetapi selagi mana kita tidak jumpa kapal ini kita memang tidak dapat elakkan kejadian seperti ini pada masa akan datang,” kata bekas graduan luar negara itu.
Mengimbau kembali ketika pertama kali beliau menerima panggilan telefon daripada bapanya, Grace berkata suaranya terus menggigil dan telefon yang dipegangnya jatuh berkecai.
Apa yang mampu dilakukan oleh gadis yang tinggal jauh beribu batu dari Malaysia pada ketika itu hanyalah menangis dan bergegas mengambil pasport miliknya untuk pulang ke tanah air.
Namun, sepanjang 15 jam perjalanan dari England ke Kuala Lumpur, Grace menyifatkan ia merupakan hari yang paling terdesak dalam hidupnya kerana beliau tidak menerima sebarang khabar berita mengenai keadaan ibunya dan pesawat MH370.
“Sebaik sahaja sampai ke Kuala Lumpur, saya dimaklumkan oleh pegawai-pegawai yang bertugas dan pada ketika itu saya rasa masih ada harapan.
“Dari hari pertama saya menerima panggilan daripada ayah sehingga hari ini saya masih menangis walaupun bukan menangis 24 jam, tetapi dalam hati masih sedih. Tiada satu hari pun yang saya lalui, saya tidak merindui ibu,” ujarnya.
Grace menambah, ucapan terakhir ‘I Love You’ yang diucapkan oleh ibunya sebelum berlepas menaiki pesawat MH370 tetap segar dalam ingatannya.
Ditanya apa yang ingin beliau katakan kepada ibunya sempena Hari Wanita Sedunia hari ini sekiranya individu yang paling disayanginya itu berada di depan mata, Grace berkata, “Saya mahu berterima kasih kepada ibu atas segala yang dia telah berikan kepada saya.
“Segala pengorbanan dan dia selalu meletakkan dirinya sebagai orang terakhir dalam keutamaanya dan memberikan segala kehidupan dia kepada kami sekeluarga. Jika dia tidak berbuat demikian, saya bukanlah Grace yang saya ada sekarang.”
Grace mengakhiri perbualan bersama Astro AWANI dengan menzahirkan harapan agar kerajaan sentiasa proaktif bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang berpotensi untuk membantu dalam mencari pesawat tersebut.
Pada 29 Mei tahun lepas, syarikat eksplorasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang melancarkan operasi mencari MH370 yang terakhir di Lautan Hindi, menghentikan operasi itu selepas gagal menemui sebarang serpihan berkaitan pesawat itu.
Pada Julai 2018, Pasukan Penyiasat Keselamatan MH370 dalam laporan setebal 449 halaman menyimpulkan bahawa mereka gagal mengesahkan punca utama kejadian, namun tidak menolak kemungkinan ‘gangguan yang menyalahi undang-undang' oleh pihak ketiga membawa kepada kehilangan pesawat berkenaan.
#Beijing
#hari wanita sedunia
#hilang
#kerajaan
#keselamatan
#Kuala Lumpur
#Malaysia Baharu
#MH370
#penerbangan
#pesawat
#rakyat Malaysia
#wanita