Jijik! Jumpa najis tikus, kilang roti diarah tutup
Dewi Nur Harasha Alias
November 24, 2021 16:06 MYT
November 24, 2021 16:06 MYT
GEORGE TOWN: Sebuah kilang roti di Jalan Kedah, di sini diarah tutup selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihannya tidak memuaskan susulan penemuan najis tikus di premis tersebut.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid berkata premis yang telah beroperasi selama 50 tahun itu juga didapati menggunakan logo halal yang mengelirukan pada kotak pembungkusan.
Beliau berkata semua kesalahan itu dikesan semasa ‘Ops Bersih’ yang dijalankan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKN) pagi tadi dan tindakan penutupan dibuat selama dua minggu bagi tujuan pembersihan.
"Kita lihat terdapat satu logo halal di kotak, keadaan ini amat membimbangkanlah ia kerana setiap kali serbuan yang kita lakukan banyak syarikat dan pemilik guna logo halal. Ini boleh mengelirukan terutamanya untuk orang Islam.
"Kita tidak melarang penggunaan logo halal tetapi pemilik harus mendapat kelulusan pihak berwajib sebelum guna logo halal supaya dapat mengelakkan kekeliruan umat Islam di luar," katanya.
Selain kilang roti, Jabatan Kesihatan negeri turut menutup sebuah kilang membuat mi di Jalan Pintal Tali.
Wazir berkata, kilang mi yang berusia 80 tahun itu gagal mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM), apabila meletakkan makanan yang telah siap diproses di atas lantai selain bungkusan mi tidak mempunyai label.
Menurutnya, kilang roti dan kilang mi itu memasarkan produk mereka di Pulau Pinang sahaja dan pernah diserbu pada tahun lepas.
Namun, pihaknya hanya mengeluarkan notis kompaun dan amaran kepada pemilik ketika itu.
"Kita keluarkan kompaun bernilai hampir RM3,000 dan kita juga mengeluarkan notis penutupan ke atas kedua-dua premis dimana kita dapati terdapat najis tikus dimana keadaan situasi tersebut membimbangkan dimana najis kita lihat berada di atas plastik pembungkusan, itu amat membimbangkanlah kemungkinan berlaku pencemaran," katanya lagi.
Menurut Wazir, arahan penutupan dibuat di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.