Jijik! Gudang simpanan stok pasar raya dipenuhi najis haiwan

Shuhada Abdul Kadir
April 21, 2022 15:41 MYT
Dua pekerja gudang sebuah gudang milik pasar raya di Jasin sedang memasukkan stok barangan makanan yang tamat tarikh luput dengan dipantau oleh pegawai penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri Melaka. - Gambar Astro AWANI
JASIN: Sebuah gudang milik pasar raya di sini diarah tutup serta-merta selepas dikesan menyimpan stok barangan makanan yang dipenuhi dengan najis haiwan.
Dalam serbuan sekitar pukul 11 pagi itu, pasar raya tersebut turut dikesan menyimpan ayam dan ikan busuk sehingga beku selain makanan yang telah tamat tarikh luput selama empat tahun iaitu pada 2018 lalu.
Selain berbau busuk akibat najis yang bersepah, pemilik premis terbabit juga didapati seolah-olah membiarkan gudang makanan itu dijadikan sebagai tempat perlindungan haiwan dengan longgokkan najis yang dibiarkan sehingga kering dan menjijikkan.
Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, serbuan itu dilakukan selepas mendapat aduan daripada penduduk berhubung kualiti dan kebersihan produk dijual.
Rentetan itu, pihaknya kemudian mengarahkan gudang terbabit ditutup serta-merta selama 14 hari selain pemilik pasar raya terbabit juga dikompaun sebanyak RM9,500 di bawah Seksyen11 Akta Makanan 1983.
“Paling mengejutkan makanan yang dijual itu diletakkan bersama najis haiwan yang mana najis itu dibiarkan sampai kering dan perkara ini paling kita tidak boleh terima dan kompromi.
“Jadi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka telah mengarahkan premis ini ditutup dan sehingga pihak kami berpuas hati dengan tahap pembersihan, barulah gudang ini dibenar untuk buka semula,” katanya selepas mengetuai Ops Raya di sini, hari ini.
Kesalahan terbabit dikesan dalam Ops Raya yang dijalankan Jabatan Kesihatan Melaka di sekitar daerah Jasin hari ini.
Tegasnya, pemilik pasar raya terbabit dikesan melakukan tiga kesalahan besar melibatkan tamat tarikh luput, barangan tiada alamat pengeluar dan kehadiran makhluk perosak di dalam premis.
“Menjual produk tamat tarikh luput sejak empat tahun lalu selain masih memasarkan ayam segar yang busuk dianggap terlalu melampau yang mana 279 barangan kita sita dalam operasi di pasar raya ini.
“Jadi kepada semua pemilik premis, ini merupakan peringatan keras yang mana sekiranya kebersihan makanan tidak dijaga, notis penutupan serta-merta akan dikeluarkan,”tegasnya.
Tambahnya, dalam Ops Raya yang bermula 11 April lalu, sebanyak tujuh pasar raya di seluruh Melaka diperiksa.
Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak lima kompaun bernilai RM15,000 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain 104 jenis barangan makanan disita.
#gudang #pasar raya #najis haiwan #Jabatan Kesihatan Negeri Melaka
;