Jihad untuk menghapuskan rasuah
Sinar Harian
Januari 17, 2021 11:32 MYT
Januari 17, 2021 11:32 MYT
MESKIPUN baharu diperkenalkan pada Sabtu, kempen atau gerakan yang dinamakan Sinar Untuk Malaysia #KarakterNilaiMoralBangsa berjaya mendapat respons positif daripada pelbagai pihak.
Tidak bertujuan untuk mengambil alih tugas mana-mana pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebaliknya gerakan massa oleh Sinar Harian dengan mewujudkan Sinar Rasuah Busters itu sebenarnya sebagai pembuka laluan bagi mengajak rakyat bangkit membanteras rasuah.
Idea gerakan memulihkan moral bangsa itu tercetus dengan melihat kereputan sistem nilai, integriti dan bad governance dalam negara ketika ini.
Ikuti kupasan siri kedua bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub mengenai pandangan dan harapan beliau terhadap gerakan yang dicetuskan itu.
SINAR HARIAN: Selepas Sinar Untuk Malaysia #KarakterNilaiMoralBangsa dilancarkan pada Sabtu, apakah kesan awal yang dapat dilihat?
HUSSAMUDDIN: Alhamdulillah, saya mendapat respons yang sangat banyak daripada pelbagai pihak yang rata-ratanya mengalu-alukan kempen ini.
Malah sokongan juga datang daripada pelbagai latar belakang termasuklah orang kenamaan.
Bagi saya, ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana semua orang tahu masalah rasuah ini bukan benda baharu tetapi telah berlaku sejak hampir 50 tahun lalu.
Dalam bahasa mudahnya ia telah mereput. Selama ini, bukan tidak ada yang cuba untuk menentang atau melakukan kempen perangi rasuah tetapi disebabkan ia terpisah (gerakan yang berbeza), jadi impaknya tidak ada.
Kalau kita lihat, kempen atau usaha perangi rasuah ini juga turut dilakukan orang politik tetapi terbantut.
Perkara tersebut disebabkan kredibiliti orang politik itu sendiri turut dipersoalkan.
Apabila tidak ada integriti dan kredibiliti, maka tidak adalah kesungguhan untuk selesaikan masalah itu.
Pada pandangan Datuk, apakah faktor gejala rasuah itu sukar dikawal meskipun pelbagai usaha untuk memeranginya telah dilakukan?
Sekarang ini rasuah sudah menjadi budaya normal. Sogokan berlaku di mana-mana. Malah dalam kalangan orang yang membuat aduan itu sendiri turut melakukan sogokan. Contoh, orang yang bersuara pun turut melakukan rasuah.
Jadi, bila Sinar Harian menggerakkan usaha ini, ia seolah-olah sebagai flood gate yang menjadi penyambung kepada usaha untuk memerangi korupsi.
Ramai orang yang tidak menyukai rasuah tetapi menunggu pihak yang ada kredibiliti untuk membuat gerakan dan menyambung usaha memerangi perbuatan tersebut.
Maknanya Sinar Harian membuat gerakan ini sebagai penyambung kepada usaha tersebut kerana kita tidak boleh melakukan secara sendirian. Kita memerlukan gerakan bersama bagi menyeru orang ramai untuk bangkit dan mengubah ekosistem.
Kalau kita hendak tukar ekosistem, ia melibatkan sebuah gerakan besar. Maksudnya bukan Sinar Harian sahaja tetapi seluruh rakyat sama ada pemimpin atau rakyat biasa.
Boleh Datuk terangkan secara lebih terperinci mengenai gerakan yang cuba dicetuskan ini?
Apa yang cuba Sinar Harian lakukan adalah mencetuskan atau wake up call untuk semua orang supaya kita sama-sama buat mengikut kapasiti masing-masing. Jadi maksudnya semua orang kena bergabung (membanteras rasuah).
Contohnya, macam apa yang saya katakan semalam (dalam siri satu) adalah contoh yang ringan sahaja. Sebenarnya kerja ini kerja yang besar, berat dan banyak peringkat. Maknanya, kita kena reboot dan reset dan kita kena uninstall sistem ini.
Itu sebab kita perkenalkan Sinar Untuk Malaysia yang merupakan sebuah harapan baharu. Harapan baharu maknanya kena ada sinar tapi sinarnya bukan ditentukan oleh pemimpin tetapi rakyat yang tentukan.
Rakyat mesti bergabung mengikut kapasiti masing-masing. Maksudnya, kita kena tingkatkan tiga perkara iaitu sistem nilai, pendidikan dan kesihatan serta ekonomi.
Kempen ini juga merupakan sebuah gerakan untuk membina balik negara dengan memberi penekanan kepada tiga sistem penting itu.
Apakah matlamat atau hasrat Datuk apabila memperkenalkan kempen ini?
Formatnya ialah perjuangan bersama, jihad yang harus dipikul bersama.
Sinar Harian buka ruang untuk membangkitkan semangat supaya rakyat bangkit dan lakukan reformasi yang menyeluruh.
Maksudnya, kalau wujud ketua yang rasuah di pejabat kita kena tukar ketua, kalau ahli politik yang terlibat rasuah kita juga kena lakukan perkara sama.
Penyokong politik kena berani untuk tukar ketua mereka yang terlibat dengan rasuah, jangan lagi bersekongkol dengan rasuah.
Jadi kempen ini sebagai wake up call kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bangun bangkit dan tentang secara bersungguh-sungguh dan secara tersusun.
Ini merupakan sebuah kebangkitan rakyat menentang rasuah bukan hendak menjatuhkan kerajaan tapi menentang rasuah. Bukan hendak menentang sistem tapi hendak tukar ekosistem.
Datuk dilihat agak lantang dan berani dalam mengeluarkan pendapat dalam isu ini termasuklah meminta reformasi turut dilakukan dalam politik. Apakah faktor yang membuatkan Datuk mengambil pendirian sebegini?
Sistem politik kita gagal kerana orang yang memimpin parti politik kebanyakan orang lama yang sudah terbukti gagal. Semua parti harus melakukan perubahan. Berilah kepada muka baharu. Kenyataan saya mungkin agak keras tetapi inilah realiti yang perlu diterima.
Kalian (pemimpin lama) telah gagal menyatupadukan negara ini termasuklah orang-orang agama. Jadi saya seru kepada mereka supaya berundur. Jangan pentingkan diri sendiri, sebaliknya fikirkanlah demi anak cucu.
Apakah seruan Datuk kepada orang ramai dalam menjayakan kempen ini?
Saya difahamkan ada dalam kalangan peniaga kecil yang terpaksa membayar macam-macam kepada pegawai kerajaan untuk berurusan.
Mereka perlu tampil. Bangun dan bersuara. Tolak dengan berani mengatakan bahawa mereka telah dianiaya. Laporkan kepada Sinar Harian dan kita akan bongkarkan.
Seruan saya jangan duduk diam. Kita kena main peranan untuk menentang gejala jijik dan hina ini.
Selain itu, saya juga ingin menyeru kepada golongan profesional untuk sama-sama menyertai kempen ini untuk kita bina bangsa dan negara yang bebas rasuah mengikut kemampuan masing-masing.
Saya juga menyeru kepada rakan media yang lain untuk sama-sama bergabung dalam kempen ini.
Tidak guna nama Sinar Harian pun tidak mengapa. Gunalah nama sendiri asalkan kita sepakat gempur rasuah ini.
Badan bukan kerajaan, parti politik atau apa sahaja, mari kita sama-sama bergabung untuk realisasikan untuk banteras gejala ini demi masa depan generasi akan datang.
Apakah harapan Datuk terhadap kempen yang digerakkan ini?
Oleh kerana sistem organisasi sekarang sudah gagal (perangi rasuah), maka kita perlu organisasi baharu. Kita perlu orang baharu untuk memimpin.
Kita perlu komitmen baharu daripada rakyat. Rakyat Malaysia yang membenarkan keruntuhan moral harus bangkit. Rakyat kena bangkit dengan penuh tanggungjawab untuk menyelamatkan negara.
Reformasi perlu dilakukan dari bawah sampai ke atas dengan melakukan semua perubahan seperti sikap, karakter, moral dan bangsa.
Sekarang ini ia merupakan satu gerakan reformasi bukan dari pemimpin tapi gerakan rakyat yang berkolaboratif dan berjuang bersama.