Jho Low lepaskan tuntutan hak milik Hotel Park Lane

Ibrahim Sani
November 17, 2018 11:37 MYT
Jho Low melepaskan tuntutan hak milik Hotel Park Lane untuk membolehkan aset ini dijual kepada Mubadala Group di Abu Dhabi oleh DOJ / filepic
Usahawan Malaysia yang diburu, Jho Low dilaporkan telah menggugurkan tuntutan hak milik beliau terhadap aset Hotel Park Lane di bandaraya New York, Amerika Syarikat (AS).
Tindakan diambil bagi membolehkan pihak pendakwaraya AS menjual aset itu kepada Mubadala Investment Co milik syarikat dari Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Jho Low membeli hotel itu pada tahun 2013 melalui satu usahasama dengan syarikat hartanah New York - Witkoff Group - dengan harga RM2.74 bilion (AS$654 juta). Jabatan Keadilan (DoJ) AS mendakwa wang RM2.74 bilion ini adalah sebahagian dari wang yang dicuri Jho Low dari dana kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Melalui usahasama dengan Witkoff, Jho Low dikatakan memiliki 85 peratus hak milik hotel ini.
Pada lewat tahun 2013, Mubadala telah membayar Jho Low sejumlah RM565 juta (AS$135 juta) untuk memiliki sebahagian hak milik hotel ini.
Jabatan Kehakiman (DOJ) AS telah beberapa kali berusaha merampas aset itu dari Jho Low kerana DoJ mendakwa Jho Low membeli Hotel Park Lane menggunakan wang yang dicuri dari (1MDB).
Selain dari Park Lane Hotel di New York, DoJ dan pihak pendakwaraya cuba merampas aset lain milik Jho Low yang mereka mendakwa dibeli menggunakan wang haram dari 1MDB.
Pendakwa di Los Angeles juga sebelum ini telah bersetuju dengan Jho Low pada bulan lepas untuk melelong jet peribadi Bombardier milik beliau.
Sebelum itu, usaha awal Amerika Syarikat untuk menjual kapal Equanimity milik Jho Low yang bernilai RM1 bilion telah gagal, kerana Indonesia, di mana kapal itu telah disita atas permintaan AS, telah menyerahkan kapal itu kepada Kerajaan Malaysia. Kerajaan Malaysia kini dalam proses untuk melelong kapal itu.
Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh Jho Low, beliau berkata ‘pengguguran tuntutan hak milik Hotel Park Lane membolehkan aset ini dijual dengan segera kepada Mubadala mahupun pelabur-pelabur lain’.
Kenyataan Jho Low juga menyatakan bahawa ‘DoJ telah bersetuju bahawa pengguguran hak milik tuntutan Jho Low terhadap hotel ini, tidak akan dianggap sebagai pengakuan bersalah oleh ahli perniagaan itu. Jho Low tidak mengaku bersalah atas mana-mana dakwaan oleh DoJ.'
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Amerika Syarikat #DoJ #Equanimity #Indonesia #Jho Low #kapal #lelong #Malaysia #Najib Razak #park lane #Riza Aziz #Rosmah Mansor #witkoff
;