'Jho Low hubungi saya tawar bantuan, beri nama individu terbabit dalam 1MDB' - Tun Daim

Afiq Ariffin
Oktober 8, 2018 18:14 MYT
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin mendedahkan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low pernah menghubungi beliau untuk menawarkan bantuan dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut laporan portal berita Channel News Asia, Jho Low cuba menawarkan bantuan untuk mengenal pasti kedudukan aset-aset berkaitan dengan 1MDB serta meminta kerajaan Malaysia memberikannya imuniti.
Sebelum ini, Daim pernah menyatakan kesanggupan Jho Low untuk membantu siasatan berhubung kes berprofil tinggi tersebut. Ketika itu, Daim turut menggesa ahli perniagaan itu agar pulang ke tanah air kerana Jho Low merupakan saksi paling penting dalam siasatan 1MDB.
“Saya tidak tahu apa peranan yang dia mainkan. Saya tanya kenapa dia tidak mahu pulang dan berbincang mengenai perkara tersebut terlebih dahulu.
“Dengan aset berkenaan, dia (Jho Low) cakap dia boleh bantu kita untuk dapatkan semula aset-aset dan akan beri kita satu atau dua nama lain (orang yang terlibat),” Daim dipetik berkata.
Daim dilaporkan menawarkan perjumpaan dengan individu-individu lain yang terlibat itu, laporan itu sebagai dipetik.
Berhubung dengan permintaan imuniti, Daim menolak dan berkata sekiranya Jho Low ingin menolong, dia perlu pulang (Malaysia) berbincang.
Jho low, bagaimanapun mendakwa dirinya tidak bersalah dan Daim dalam jawapan balas kepada Jho Low berkata, “kalau tidak bersalah pulanglah (ke Malaysia). Kenapa pula perlu lari?”
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Jho Low #Majlis Penasihat Kerajaan #Tun Daim Zainuddin
;