Jho Low hadir mesyuarat 1MDB wakil Putera Turki - Peguam Najib

Astro Awani
November 25, 2018 05:47 MYT
Muhammad Shafee mengetuai firma yang mewakili Najib dalam beberapa kes jenayah yang sedang berlangsung. - Gambar fail
Kehadiran Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB adalah kerana beliau mewakili Putera Turki Abdullah.
Ini menurut satu kenyataan pada Ahad oleh Shafee & Co, firma guaman yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Firma berkenaan yang mewakili bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam beberapa kes jenayah yang sedang berlangsung.
Putera Turki Abdullah adalah salah seorang pemilik PetroSaudi Inc.
Peguam Najib menjelaskan bahawa perkara ini (Jho Low mewakili Putera Turki) telah dibentangkan di Parlimen pada 21 Disember 2015 oleh Kementerian Kewangan.
Kehadiran Jho Low juga dibincangkan dalam prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 25 November 2015, di mana bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang turut hadir, kata firma guaman itu.
Perbincangan mengenai pembabitan Jho Low dalam urusan 1MDB berlaku sebelum ini, seperti disebutkan dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad pada Ahad.
BACA: Jabatan Audit Negara diarah gugur fakta Jho Low hadir mesyuarat 1MDB
Mengenai kehadiran bekas presiden dan CEO 1MDB Arul Kanda dalam beberapa mesyuarat dengan Pasukan Audit 1MDB, firma guaman itu menjelaskan, ia merupakan satu proses audit biasa.
"Prosedur pengauditan lazimnya memerlukan si pengaudit dan si diaudit untuk duduk bersama dan berbincang draf laporan untuk memberi dan mendapatkan penjelasan bagi memperbaiki sebarang fakta dalam laporan audit," tambahnya.
"Najib akan memberikan penjelasan yang lebih komprehensif mengenai perkara yang dikatakan, pada masa yang sesuai," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, sebagai peguam Najib, katanya, kenyataan yang dikeluarkan Madinah "menampakkan unsur berbaur politik kerana pertimbangan untuk mengeluarkan kenyataan itu adalah berdasarkan perjumpaan dengan kabinet."
Firma undang-undang itu juga menyifatkan kenyataan dibuat Madinah, dikatakan atas arahan Kabinet, sebagai satu percubaan untuk mempengaruhi pendapat umum dan menjejaskan Najib sebelum perbicaraannya.
Tindakan ini "boleh dianggap sebagai menghina mahkamah kerana terdapat unsur-unsur percubaan untuk menjejaskan kes pembelaan yang dikemukakan oleh klien kami," kata firma itu lagi.
Shafee & Co juga menyatakan bahawa Najib tidak dihubungi oleh Pejabat Ketua Audit Negara untuk mendapat penjelasan sebelum kenyataan akhbar itu dikeluarkan, dan oleh itu dia tidak pernah diberi peluang untuk bertindak balas terhadap kenyataan akhbar yang dimaksudkan.
Ini merupakan satu pelanggaran keadilan, atau breach of natural justice, katanya.
"Perkara ini dikeruhkan lagi kerana dalam perenggan terakhir kenyataan Ketua Audit Negara, mereka telah memaklumkan isu ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
"Walaupun ini mungkin hak mana-mana orang untuk membuat laporan polis, kami mempersoalkan motif untuk mendedahkan perkara ini secara beransur-ansur," kata Shafee & Co lagi.
Oleh itu, katanya kenyataan Madinah bukan sahaja pra-matang, tetapi "melanggar proses lazim dan telah menuduh anak guaman kami terdahulu dan membuat penyiasatan kemudian," kata firma itu lagi.
"Kami menggesa sekerasnya kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk menjalankan tanggungjawab yang lebih dalam menilai mana-mana kenyataan yang akan dibuat terhadap anak guaman kami, dan membenarkan proses keadilan alamiah berlaku dengan cara yang saksama dan sejajar dengan janji yang dibuat oleh kerajaan, dalam membenarkan proses dan peraturan undang-undang akan dipatuhi untuk memberi semua orang satu perbicaraan yang adil," tambahnya.
#1MDB #Arul Kanda #berbaur politik #Jho Low #Kementerian Kewangan #Ketua Audit Negara #Low Taek Jho #Madinah Mohamad #mesyuarat #Muhammad Shafee Abdullah #Najib Razak #Parlimen #PDRM #peguam #pelanggaran keadilan #PetroSaudi #Shafee & Co #siasatan #SPRM #Turki Abdullah
;