Jho Low dipercayai guna pasport Saint Kitts and Nevis - KP Imigresen

Bernama
Julai 12, 2018 18:58 MYT
Menurut laporan media, pasukan Polis Diraja Malaysia yang menjejaki Jho Low di Hong Kong mendapati ahli perniagaan itu sudah melarikan diri ke Macau. - Gambar fail
Ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dipercayai bergerak dengan menggunakan pasport negara Saint Kitts and Nevis yang terletak di kepulauan Caribbean, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.
"Mengenai Jho Low tentunya kita bekerjasama dengan pihak polis. Pasport (Malaysia) dia kita dah batalkan pada 15 Jun (lepas) atas permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
"... dan kita percaya yang dia telah menggunakan pasport satu lagi iaitu Saint Kitts and Nevis untuk pergerakan-pergerakan yang lain," katanya kepada Bernama dan NSTP di Menara Ilham di sini, hari ini.
BACA: 'Hong Kong tolak permintaan Singapura tahan Jho Low pada 2016'
Ditanya tentang sejauh mana ahli perniagaan itu mampu bergerak menggunakan pasport tersebut, beliau berkata ia 'bergantung'.
Mustafar turut menegaskan pihaknya tidak ada maklumat lanjut dan menunggu perkembangan seterusnya daripada polis.
Menurut laporan media, pasukan Polis Diraja Malaysia yang menjejaki Jho Low di Hong Kong mendapati ahli perniagaan itu sudah melarikan diri ke Macau.
-- BERNAMA
#1MDB #Imigresen #Jho Low #Malaysia #Mustafar Ali #Polis Diraja Malaysia #SPRM
;