Jho Low didakwa bedah wajah menyerupai beruang, berjalan macam seladang
Ridzal Abdullah
November 4, 2019 15:59 MYT
November 4, 2019 15:59 MYT
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini mendedahkan pelbagai alasan yang tidak dapat diterima akal diberikan oleh pihak berkuasa negara yang dipercayai menjadi lokasi persembunyian Low Taek Jho atau Jho Low.
Ini termasuklah mendakwa ahli perniagaan dalam buruan itu sudah membuat pembedahan wajah dan kini menyerupai beruang dan berjalan seperti seladang.
“Kononnya dia (Jho Low) ini sekarang susah hendak dikesan. Dia sekarang sudah menyerupai beruang dan ada kalanya bila berjalan itu, dia menyerupai seekor tambadau (seladang). Maka dari belakang bila kita lihat dia macam tambadau. Begitulah rupanya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Bagaimanapun, Abdul Hamid memaklumkan dakwaan tersebut tidak logik dan mustahil memandangkan Jho Low dikehendaki di beberapa negara.
Abdul Hamid mengulas laporan akhbar tempatan Cyprus, Politis, mengenai ahli perniagaan itu di negara terbabit selain didakwa turut memiliki pasport negara kepulauan di Mediterranean itu selepas didakwa terbabit skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jho Low juga didakwa mendapatkan khidmat broker pasport dan kewarganegaraan bagi tujuan itu dipercayai untuk mengelak pergerakannya dikesan pihak berkuasa antarabangsa dan Malaysia.
Pada Mei lalu, Abdul Hamid memberitahu polis sudah menemui petunjuk positif dalam gerakan memburu Jho Low yang gagal dikesan sejak 2015.
Dakwaan terbaharu ini muncul hanya beberapa hari setelah tersebar berita tentang laporan bahawa Jho Low ditawarkan suaka di Emiriah Arab bersatu (UAE) dan dikatakan kerap berulang alik di antara rantau Asia Barat dan Eropah sejak Jun lalu.
Abdul Hamid juga memaklumkan pihaknya akan membawa balik Jho Low yang terlibat dengan penyelewengan dana 1MDB dalam masa terdekat.
“Saya sudah kata saya akan berusaha sehingga hujung tahun ini untuk membawa dia (Jho Low) balik. Maka saya masih lagi menggunakan pendekatan untuk bersedia bekerjasama dengan pihak tersebut.
“Apa sahaja syarat-syarat dia hendak, saya bersedia mendengarnya tetapi yang pentingnya penjenayah itu mesti diserahkan balik kepada kita,” katanya lagi.
Sebelum ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.9 bilion) telah disalahgunakan daripada 1MDB.
Jho Low dituduh sebagai dalang transaksi wang haram yang disalurkan dari syarikat pelaburan negara itu.
Hamid berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota Pasukan Gerakan AM (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan perkhidmatan cemerlang.
Seramai 17 anggota yang terdiri daripada pegawai kanan dan anggota PGA menerima sijil penghargaan tersebut yang disampaikan dalam Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan di Ibu Pejabat Batalion 14 PGA Tawau yang melibatkan 52 pegawai-pegawai kanan dan 200 anggota PGA.
Turut hadir ialah Ketua Polis Negeri Sabah, Datuk Omar Mamah, Ketua Polis Daerah Tawau, Peter Umbuas dan Komander Briged Sabah PGA, SAC Mancha Ata.
#1Malaysia Development Berhad
#1MDB
#Jho Low
#Jho Low Beruang
#Jho Low tukar wajah
#Ketua Polis Negara
#Malaysia
#Polis Diraja Malaysia