Jho Low beri gambaran seolah-olah beliau rapat dengan Najib - Tengku Rahimah

Bernama
Februari 12, 2025 16:19 MYT
Mengulas mengenai penglibatan Jho Low dalam peringkat awal TIA, Tengku Rahimah menyatakan bahawa Jho Low memainkan peranan utama dalam mencadangkan penubuhan TIA, serta mengenal pasti sektor berpotensi untuk pembangunan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Adinda kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Low Taek Jho atau Jho Low telah memberi gambaran seolah-olah beliau mempunyai hubungan baik dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tengku Rahimah, 59, yang merupakan pengarah dalam Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang kemudiannya dinamakan semula sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berkata demikian ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu atas dakwaan salah guna RM2.3 bilion dana 1MDB.
Saksi pembelaan keenam itu yang hanya memegang jawatan sebagai pengarah TIA selama 10 hari, menyatakan bahawa beliau diperkenalkan kepada Jho Low oleh Datuk Syed Ahmad Alwee Alsree, menantu bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud dan beliau juga menghadiri satu mesyuarat yang diadakan di pejabat Jho Low di Menara Berkembar Petronas (KLCC) bersama suaminya dan Syed Ahmad.
"Pada sekitar tahun 2008, dalam satu perbincangan keluarga, kami bercakap mengenai hasrat Tuanku Mizan untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat di Terengganu. Ketika itu, kami diperkenalkan kepada Jho Low yang berkongsi pandangannya mengenai Mubadala, sebuah dana kekayaan berdaulat di Emiriah Arab Bersatu, termasuk asal-usul dan strukturnya.
"Perbincangan ini mendorong kami untuk meneroka idea tersebut dengan lebih lanjut dan membentangkannya kepada Tuanku Mizan. Saya memperkenalkan Jho Low kepada Tuanku Mizan. Penubuhan TIA bukanlah inisiatif Datuk Seri Najib. Idea ini dicadangkan oleh Jho Low kepada Tuanku Mizan selepas baginda diperkenalkan kepada model dana kekayaan berdaulat Mubadala," kata beliau dan menambah pelantikannya sebagai pengarah TIA adalah atas cadangan Jho Low dan dipersetujui Sultan Mizan.
Mengulas mengenai penglibatan Jho Low dalam peringkat awal TIA, Tengku Rahimah menyatakan bahawa Jho Low memainkan peranan utama dalam mencadangkan penubuhan TIA, serta mengenal pasti sektor berpotensi untuk pembangunan.
"Fokus awal beliau adalah dalam sektor pelancongan, dengan memanfaatkan aset semula jadi Terengganu, terutamanya pulau-pulaunya. Idea beliau kelihatan kukuh dan boleh dipercayai, serta membentangkan rancangan yang realistik dan boleh dicapai untuk menjana peluang ekonomi bagi negeri ini. Satu rangka tindakan telah disediakan untuk TIA, yang jika saya ingat dengan betul, termasuk cadangan membangunkan taman tema air di Tasik Kenyir," kata beliau.
Tengku Rahimah turut menggambarkan Jho Low sebagai seorang yang sangat berjaya, bukan sahaja berdasarkan pencapaiannya tetapi juga melalui lokasi pejabatnya yang eksklusif dan reka bentuk dalaman yang sofistikated di KLCC, yang mampu mengagumkan perhatian sesiapa sahaja.
Beliau berkata pada 22 Mei 2009, Sultan Mizan telah memanggilnya untuk satu pertemuan peribadi dan secara tidak disangka telah meminta beliau menandatangani resolusi bagi menggantung program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN).
"Terkejut dengan permintaan saya telah bertanyakan sebabnya, namun Tuanku Mizan hanya mengarahkan saya untuk meneruskan penandatanganan resolusi tersebut," katanya, sambil menambah bahawa beliau kemudian meletakkan jawatan dalam syarikat itu.
Ketika menjawab soalan lain daripada Ahmad Akram, saksi mengesahkan bahawa terdapat satu majlis makan malam tidak rasmi di istana Terengganu, yang Sultan Mizan dan Najib berbincang mengenai penubuhan TIA dan Najib memberikan penjelasan secara makro kepada Sultan Mizan.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Najib berdepan dengan 25 pertuduhan, termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan jawatan bagi menerima RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan diteruskan dengan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, sebagai saksi pembelaan ketujuh.
-- BERNAMA
#1Malaysia Development Berhad #Najib Razak #Jho Low #Datuk Rahimah Sultan Mahmud
;