Jeti runtuh: 'Saya hanya mampu panggil nama abang sambil menangis'
Petrus Bernard
Mei 5, 2022 10:40 MYT
Mei 5, 2022 10:40 MYT
SEMPORNA: Hanya sempat panggil nama abang sambil menangis.
Itu yang dialami Ariansyah Mukhdir, mangsa kejadian pondok jeti yang runtuh di Kampung Gading-Gading, Semporna pada Isnin lalu.
Katanya ketika kejadian tiupan angin laut agak kuat sebelum pondok jeti tersebut runtuh secara tiba-tiba.
"Masa itu saya yang disuruh ambil gambar mereka. Masa saya sedang ambil gambar, pondok itu tiba-tiba roboh, masa tu angin agak kuat.
"Selepas jatuh saya teriak, panggil nama abang sambil menangis, saya sempat nampak abang turut menangis, tidak lama kemudian dia lemas.
"Dua jam kemudian baru dijumpa dengan bantuan orang kampung menyelam ambil abang saya," katanya.
Sebelum kejadian Ariansyah,13, bersama abangnya yang terkorban, Ahmad Nifail Mukhdir, 14, dan adiknya yang berusia 12 tahun serta lima lagi rakannya sedang duduk sambil mengambil gambar menggunakan telefon bimbit di pondok tersebut.
Selepas kejadian, dia segera pulang ke rumah memberitahu ibunya berkaitan kejadian tersebut.
Ibunya yang menyangka ketiga anaknya pergi berhari raya di rumah pakcik mereka amat terperanjat dengan apa yang berlaku.
"Selepas itu saya pulang menaiki motosikal beritahu mama, apabila sampai rumah saya menangis.
"Pakcik pun hairan kenapa saya menangis dan saya beritahu yang abang lemas. Mama tidak tahu kami pergi ke jeti itu, dia sangka kami pegi beraya ke rumah pakcik," jelas Ariansyah.
Turut mengongsikan kejadian itu seorang lagi mangsa, Mohd Rawi Jumadil, 15, yang tidak sempat menyelamatkan rakannya yang terkorban.
"Tempat itu runtuh secara tiba-tiba. Masa kami terjatuh, ada kawan sempat memegang saya, kami tidak sempat pegang apa-apa.
"Kawan saya minta tolong selepas itu saya tidak nampak dia," katanya.
Dalam kejadian pada petang Isnin lalu, dua remaja lelaki maut selepas terjatuh dalam kejadian runtuhan pondok jeti di Kampung Gading-Gading, Semporna.