Jeti baharu akan dibina semula di Terminal Dermaga Sibu
Astro Awani
Januari 8, 2021 18:04 MYT
Januari 8, 2021 18:04 MYT
KUALA LUMPUR: Sebuah jeti baharu akan dibina di Terminal Dermaga Sibu di Jalan Temple bagi menggantikan struktur jeti sedia ada di sana.
Penyelesaian jangka panjang ini diumumkan susulan keadaan jeti yang memerlukan kerja baik pulih segera.
Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin menerusi kenyataan pada Jumaat berkata, pihak kementerian menerima aduan daripada pengguna dan operator pengangkutan air berhubung struktur jeti tersebut.
“Pada suku pertama 2020, pihak kementerian ada menerima aduan mengenai empat daripada tujuh ponton yang sudah separuh tenggelam di jeti berkenaan.
“Sebelum ini, beberapa inisiatif sudah dilaksanakan antaranya kerja penambahbaikan sementara melibatkan ponton, penghadang dan rantai besi,” kata kenyataan itu.
Selain itu, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) juga sentiasa mengawasi struktur ponton di jeti tersebut bagi memastikan ia terus dapat beroperasi seperti biasa.
Antara langkah yang diambil adalah dengan mengepam air daripada ponton setiap hari bagi mengurangkan tekanan dan menjalankan pemeriksaan berjadual pada papan pelapik ponton.
Sementara itu, proses berkaitan tender juga sudah diselesaikan mengikut prosedur ditetapkan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).
“Kerja-kerja pembinaan jeti baharu ini akan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan sepenuhnya.
“Untuk itu semua operasi kapal bandung akan ditempatkan di Dermaga Kargo R.C Burung Apuh.
“Pihak kementerian berharap agar pengguna dan operator kapal bandung dapat bersabar dan memberi kerjasama sepenuhnya sebelum jeti yang baharu siap sepenuhnya,” tambahnya.
#Sibu Wharf Terminal
#struktur jeti bot Sibu
#Kementerian Pengangkutan Sarawak
#Lembaga Sungai-sungai Sarawak
#Dermaga di Sibu
#kapal bandung Sibu