Jeti baharu akan dibina di Pulau Rusukan Besar
Bernama
Julai 27, 2024 05:00 MYT
Julai 27, 2024 05:00 MYT
LABUAN: Jeti baharu akan dibina di destinasi pelancongan popular Labuan, Pulau Rusukan Besar, sekali gus menangani isu tempat bot berlabuh yang rosak dan tidak selamat.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail berkata peruntukan bagi pembinaan itu telah diluluskan dan beliau menekankan kepentingan jeti baharu itu untuk pelancongan dan inisiatif rehabilitasi penyu.
"Kami sangat menyedari kepentingan jeti untuk pengunjung, bukan sahaja untuk percutian dan menyelam tetapi juga untuk usaha pemuliharaan penyu," kata Rithuan kepada Bernama pada Sabtu.
Beliau menambah proses tender untuk pembinaan tersebut akan selesai hujung Ogos ini dan projek itu dijadualkan bermula pada September.
Katanya pembinaan dijangka siap dalam tempoh lapan bulan dengan pemantauan ketat oleh Perbadanan Labuan bagi memastikan projek itu mencapai kualiti dan standard ditetapkan.
Pulau Rusukan Besar merupakan tarikan pelancong yang giat dipromosikan oleh agensi pelancongan dan pemain industri Labuan.
Menurut Rithuan pulau itu pernah menganjurkan beberapa acara menyelam antarabangsa selain terkenal sebagai lokasi pendaratan penyu.
-- BERNAMA