Jersi tiruan Harimau Malaya dirampas
Bernama
November 29, 2012 15:39 MYT
November 29, 2012 15:39 MYT
Sindiket jersi tiruan pasukan Harimau Malaya dan Garuda tidak sempat mengaut keuntungan apabila kegiatan mereka dibanteras Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur di sebuah premis, di Gombak, Rabu.
Difahamkan 3,480 helai jersi itu yang dianggarkan bernilai RM73,080, akan dijual semasa perlawanan antara pasukan Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Jersi itu akan dijual dengan harga RM35 sehelai berbanding jersi tulen yang berharga RM140 sehelai.
Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Abu Samah Shabudin berkata jersi itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk dijual dalam pasaran tempatan.
"Saya ingin mengingatkan semua penyokong Harimau Malaya supaya tidak membeli barang-barang tiruan kerana ini boleh merugikan industri tekstil," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.
Abu Samah berkata dalam serbuan kira-kira tiga jam mulai 1.45 petang itu, tiga pegawai penguatkuasa KPDNKK dan seorang wakil syarikat jenama Nike menyerbu premis itu yang ditutup dan tiada pekerja di dalamnya.
"Kami akan mencari pemilik perniagaan ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi sehelai jersi atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi kesalahan individu," katanya.
Syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM15,000 untuk setiap helai jersi, katanya.