Jerman belasah Brazil, penduduk Kampung Parit Jerman gembira

Siti Nur Aqilla Omar
Julai 9, 2014 13:05 MYT
Jerman belasah Brazil, penduduk Kampung Parit Jerman gembira
Kemenangan pasukan Jerman memalukan Brazil 7-1 awal pagi tadi tidak saja kebanggaan rakyat negara itu tetapi ia turut dikongsi oleh lebih 100 penduduk Kampung Parit Jerman di Pontian, Johor.
Penduduk kampung itu juga bangga kerana nama kampung mereka mula dikenali ramai kerana kemenangan bergaya Jerman.
Mohd Khir Tambi yang ditemui di kampung itu berkata beliau bangga kerana selepas Jerman menang besar, banyak orang menyebut-nyebut nama kampungnya.
“Bangga sangat. Saya memang sokong Jerman dan cakap dengan kawan kalau menang makan sup," katanya yang yakin Jerman akan menang Piala Dunia kali ini.
Jelas Mohd Khir, nama Kampung Parit Jerman mula disebut-sebut bukan hanya selepas perlawanan separuh akhir awal pagi tadi sebaliknya sejak selepas Jerman membelasah Portugal 4-0 dalam perlawanan Kumpulan G pada 17 Jun lalu.
"Saya penyokong Jerman, (saya yakin Jerman) mesti menang. Saya tafsir 1-0 tapi tak sangka menang 7-1. Saya bangga (jadi) penduduk Parit Jerman dan doakan Jerman jadi juara. InsyaAllah,” kata seorang lagi penduduk, Ahmad Daud.
Bagaimana Kampung Parit Jerman dapat nama?
Ketua Kampung Parit, Mohd Asri Ali berkata asal nama kampung itu sudah ada sebelum Jepun datang menduduki Tanah Melayu. Menurutnya, sebelum Perang Dunia Kedua, Jerman sudah menjadikan kampung itu sebagai laluan perdagangan getah dan nanas.
Kesan tinggalan kedatangan pedagang Jerman itu masih ada sampai hari ini misalnya jeti, pusat pemunggahan barang serta rel yang digunakan untuk memindahkan barang di Sungai Peradin.
#FIFA #Jerman #Johor #Kampung Parit Jerman #Piala Dunia