Jeritan jiran selamatkan mangsa kebakaran dua rumah di Alor Setar

Adie Sufian Zulkefli
September 1, 2020 10:19 MYT
Mangsa sedang tidur menyedari kejadian itu sebaik terdengar jeritan jirannya yang ternampak kepulan asap dari belakang rumahnya. - Foto Astro AWANI
Dua buah rumah musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Seberang Nyonya, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira ‪pukul 1.20‬ pagi itu, mangsa yang sedang tidur menyedari kejadian itu sebaik terdengar jeritan jiran yang ternampak kepulan asap dari belakang rumahnya.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, sebaik menerima panggilan pada ‪pukul 1.29‬ pagi, sepasukan anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar bersama 10 anggota dan dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) serta sebuah motosikal RIM dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, api sedang marak membakar dua buah rumah, mujur ketika itu kesemua penghuni rumah berjaya keluar dengan bantuan orang awam dan bomba sukarela.
“Pihak kami berjaya mengawal api daripada merebak kira-kira 30 minit sebaik anggota tiba di lokasi,” katanya, di sini, pada Selasa.
Mohamadul Ehsan berkata tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
“Operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Seberang Nyonya, Taman Mutiara, Kuala Kedah dan Pengkalan Kundor,” katanya.
#Alor Setar #API #bomba #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #kebakaran #Kedah #kemalangan #Malaysia #mangsa #operasi #PBS #perubatan #rumah #siasatan
;