Jerebu: Yeo Bee Yin sudah 'hulur' bukti data, Nurbaya nafi salah Indonesia sepenuhnya
Astro Awani
September 13, 2019 18:45 MYT
September 13, 2019 18:45 MYT
Indonesia menolak aduan berserta bukti dari Malaysia pada Jumaat berkenaan kesan asap kebakaran hutan yang melepasi sempadan ke negara ini seterusnya menyebabkan jerebu dan gangguan kesihatan.
Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia Siti Nurbaya Bakar, menegaskan insiden kebakaran juga berlaku di beberapa lokasi di Malaysia, selain berpunca daripada tapak perladangan milik syarikat Malaysia di Indonesia.
Menurut Siti Nurbaya, Malaysia tidak menggambarkan keadaan sebenar isu kebakaran secara objektif, yang kini berlaku di Sumatera dan di Borneo selama lebih sebulan yang lalu.
Jelas Siti Nurbaya, walaupun ada impak jerebu di ruang udara Malaysia berasal dari Indonesia, kebakaran juga dikesan di negeri Sarawak dan di Semenanjung Malaysia, sekali gus menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.
“Saya cuma minta pihak Malaysia menjadi lebih objektif dan berperingkat dalam analisis data mereka,” ujarnya kepada Reuters pada Jumaat, sebagai mengulas aduan Kuala Lumpur yang bersandarkan data daripada Pusat Pakar Meteorologi ASEAN.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dalam satu hantaran di akaun Facebooknya pada Khamis berkata, Indonesia tidak perlu berada ‘dalam penafian’ dan data boleh berbicara sendiri.
Bee Yin berkata, data ASEAN itu menunjukkan titik panas di Sumatera dan Kalimantan berjumlah 474 dan 387 masing-masing, berbanding hanya tujuh titik panas di Malaysia.
Beliau turut mendakwa corak tiupan arah angin juga tidak menunjukkan jerebu berpunca dari Sarawak.
Keluhan berkaitan masalah jerebu semakin disuarakan menerusi pelbagai saluran, termasuk di media sosial, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kesulitan masyarakat Malaysia menjalani urusan seharian selain beberapa program luar yang terpaksa dibatalkan.
Kementerian Pendidikan pula telah mengumumkan penutupan operasi puluhan sekolah di seluruh Malaysia berikutan paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang sudah melebihi paras 100, malah mendekati bacaan 200.
Setengah juta topeng muka juga telah dikeluarkan untuk dihantar ke Sarawak, yang menerima kesan jerebu akibat bawaan asap kebakaran dari banyak titik panas di Kalimantan, Indonesia.
Terbaru, pada Jumaat, Kementerian Belia dan Sukan telah mengeluarkan kenyataan mengenai pembatalan penbganjuran program FitMalaysia Edisi Melaka yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada Sabtu (14 September).
#Borneo
#Indonesia
#jerebu
#kebakaran hutan
#maalaysia
#siti nurbaya bakar
#Sumatera
#titik panas
#Yeo Bee Yin