Jerebu: Tolong tanya Indonesia, kenapa tak mahu terima bantuan Malaysia
Firdaus Azil
September 19, 2019 15:53 MYT
September 19, 2019 15:53 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui Malaysia pernah menyatakan niat untuk membantu Indonesia memadamkan kebakaran yang menjadi punca jerebu di rantau Asia Tenggara berlarutan sejak beberapa minggu ini.
Namun Dr Mahathir berkata, beliau tidak faham mengapa negara jiran itu tidak mahu menerima bantuan Malaysia, sedangkan negara ini mempunyai segala yang diperlukan termasuk kapal terbang khas untuk bom air (water bombing) dari udara.
Walaupun ingin tahu, namun Dr Mahathir belum meminta penjelasan dari negara itu berhubung ketidaksudian mereka dalam menyelesaikan masalah berkenaan.
“Saya tak tahu kenapa, sebab saya ingin nak bertanya - mengapa anda tidak mahu menerima bantuan kami - tetapi saya masih belum bertanya.
“Kita telah cadangkan kepada mereka sepanjang masa, kita ada kapal terbang khas untuk water bombing, saya rasa itu boleh digunakan. Jadi mungkin media boleh bantu saya tanya Indonesia, mengapa mereka tidak mahu terima bantuan kita,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) kali ke-10 di Putrajaya, hari ini.
Bernama melaporkan, lebih 42,000 hektar kawasan hutan dan ladang direkodkan terbakar sejak Januari lalu, dengan beratus hektar dilaporkan masih terbakar membabitkan beberapa provinsi atau wilayah di Indonesia.
Lebih 6,000 petugas pemadam kebakaran yang turut dibantu polis dan tentera, kini dikerahkan memadam kebakaran di Riau, Jambi, Pekanbaru serta Kalimantan.
BACA: Jerebu: Kawasan Sangat Tidak Sihat di Sarawak terus meningkat
#air
#Asia
#bombing
#Indonesia
#jerebu
#kebakaran
#Mahathir Mohamad
#Perdana Menteri
#polis
#Putrajaya
#water