Jerebu teruk akibat ribut tropika Mujigae, dijangka pulih 5 Okt - Jabatan Meteorologi

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Oktober 3, 2015 18:57 MYT
Jabatan Meteorologi berkata fenomena jerebu tersebut berpunca daripada ribut tropika Mujigae yang melanda kawasan lebih kurang 1,300 kilometer arah barat laut Sabah. -Gambar fail
Keadaan jerebu teruk yang melanda beberapa negeri ketika ini akan kembali pulih menjelang 5 Oktober ini.
Jabatan Meteorologi berkata fenomena jerebu tersebut berpunca daripada ribut tropika Mujigae yang melanda kawasan lebih kurang 1,300 kilometer arah barat laut Sabah.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail ketika dihubungi Astro AWANI.
"Negara kita masih lagi berjerebu disebabkan oleh pengaruh ribut tropika Mujigae yang kini berada lebih kurang 1,300km arah barat laut Sabah.
"Ribut tropika ini telah menyebabkan negara kita kembali mendapat angin dari arah barat daya yang mana seterusnya membawa bencana jerebu dari kebakaran hutan dari Sumatera dan Kalimantan ke negara kita.
"Ribut ini akan melanda sehingga 4 Oktober ini dan seterusnya lenyap dan keadaan jerebu mula pulih selepas 5 Oktober ini," kata Che Gayah.
Tambahnya, selepas tempoh itu, keadaan jerebu negara akan kembali reda, namun belum pulih sepenuhnya.
"Angin yang melanda kita ini akan kembali menjadi angin pelbagai hala yang mana ia tidak akan lagi membawa jerebu dari kebakaran hutan di Sumatera ke negara kita," katanya lagi.
Ribut tropika Mujigae bermula kira-kira 520 km ke tenggara Guangzhou, China dengan anggaran kelajuan 20 km sejam.
Jarak terdekat adalah kira-kira 1,326 km ke barat laut Kudat, Sabah dan akan berakhir sepenuhnya pada 4 Oktober.
#Che Gayah Ismail #Jabatan Meteorologi #jerebu #ribut tropika Mujigae
;