Jerebu: Tabika kemas tutup secara automatik jika sekolah ditutup - Ismail Sabri

Bernama
Oktober 4, 2015 18:59 MYT
ISMAIL SABRI: Pengusaha Tabika Kemas diminta supaya sentiasa peka dengan pengumuman Kementerian Pendidikan memandangkan sesi pembelajaran dijalankan dalam kelas yang tidak berhawa dingin. -Gambar fail
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulangi kenyataannya bahawa Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan ditutup akibat jerebu jika sekolah-sekolah di kawasan berkenaan diisytiharkan tutup oleh Kementerian Pendidikan.
Perkara tersebut telah pun diputuskan sebelum ini namun masyarakat masih belum mengetahuinya secara menyeluruh.
Sehubungan itu, beliau meminta agar pengusaha Tabika Kemas supaya sentiasa peka dengan pengumuman Kementerian Pendidikan memandangkan sesi pembelajaran dijalankan dalam kelas yang tidak berhawa dingin.
"Apabila Kementerian Pendidikan mengumumkan tentang penutupan sekolah, semua tabika di dalam kawasan yang dinyatakan secara automatik turut ditutup; kita selari dengan keputusan Kementerian Pendidikan," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Menurutnya, sebelum ini Tabika Kemas di Johor, Pahang dan Melaka juga pernah ditutup selaras dengan arahan penutupan sekolah.
Mengenai Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pula, Ismail Sabri berkata MRSM tidak laksanakan kelas formal di bilik darjah.
Sebaliknya pelajar hanya digalakkan mengulang kaji pelajaran di pusat sumber, bilik seminar dan dewan besar yang semuanya berhawa dingin.
Memandangkan MRSM melaksanakan Pendidikan Secara Asrama Penuh Berstruktur, beliau berkata adalah tidak praktikal untuk membenarkan pelajar pulang ke rumah.
"Sebaliknya, operasi dengan sesi pembelajaran boleh dijalankan secara tidak formal seperti di dalam perpustakaan yang berhawa dingin," jelasnya.
#Ismail Yaakob #jerebu #Kemas #Kementerian Pendidikan #sekolah #TABIKA
;