Jerebu: Sebarang tindakan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan - Nik Nazmi
Fareez Azman
Oktober 3, 2023 19:00 MYT
Oktober 3, 2023 19:00 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengambil tindakan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bertambah teruk.
Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad, sebarang keputusan akan diambil oleh kementerian dan agensi berkaitan berdasarkan pelan berkenaan.
"Apa yang kita lakukan, kita ada PTJK, sama ada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bertindak berdasarkan PTJK.
"Pada masa sama NADMA akan aktifkan pengurusan bencana peringkat daerah, negeri apabila bacaan (IPU) melebihi 150 (tempoh) lebih daripada 24 jam.
"Jika bacaan IPU lebih 100 (tempoh 24 jam), KPM akan ambil keputusan menghentikan aktiviti luar bilik darjah, sekolah ditutup sekiranya IPU lebih 200," katanya.
Mengulas mengenai operasi pembenihan awan, jelas Nik Nazmi, hanya akan dilaksanakan sekiranya keadaan cuaca yang sesuai serta berdasarkan situasi jerebu semasa.
"Tentang operasi pembenihan awan, tertakluk dengan keadaan tertentu apabila keadaan sesuai dan bacaan IPU pada tahap 150 melebihi 24 jam. Kita akan pantau dan akan kemas kini," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan Wetland Studios Sebagai Pusat Sumber Pemuliharaan Alam Sekitar di sini hari ini.
Sehingga jam 5.00 petang Selasa, tiga stesen di negara ini mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu di Cheras 154, Nilai 155 dan Seremban 115.
Manakala 62 stesen pula mencatatkan bacaan IPU sederhana.