Jerebu: Sakit mata, URTI, asma meningkat di Johor

Bernama
Oktober 10, 2023 17:47 MYT
Orang ramai dinasihat agar mengambil berat faktor kesihatan kerana Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjangkakan keadaan jerebu akan menjadi semakin teruk. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) merekodkan peningkatan penyakit mata (konjunktivitis), jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dan asma, susulan jerebu di beberapa kawasan di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata konjunktivitis meningkat kepada 45 kes bersamaan 74 peratus daripada 26 kes berbanding sebelum berlaku jerebu.
"Bagi URTI pula sebanyak 1,528 kes iaitu peningkatan sebanyak 30.1 peratus berbanding 1,174, manakala asma, sebelum jerebu sebanyak 52 kes dan kini meningkat kepada 82 kes atau naik 57 peratus," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Justeru beliau menasihatkan orang ramai agar mengambil berat faktor kesihatan kerana Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjangkakan keadaan jerebu akan menjadi semakin teruk.
"Semua diingatkan agar tidak melakukan aktiviti terbuka, sebaliknya minumlah air masak dengan banyak serta memakai pelitup muka jika ada masalah kesihatan," katanya sambil menambah pihak agensi kerajaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan berpengalaman dalam menguruskan jerebu.
Menurut aplikasi MyIPU setakat 4 petang tadi, Larkin merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 152 dan Batu Pahat (159) iaitu paras tidak sihat.
-- BERNAMA
#jerebu #Johor #penyakit mata #URTI
;