Jerebu: Pesawat Bombardier CL415 MP akan dihantar semula ke Indonesia
Hilal Azmi
Oktober 21, 2015 20:29 MYT
Oktober 21, 2015 20:29 MYT
Kerajaan Malaysia sedia menghantar semula pesawat Bombardier CL415 MP dalam usaha membantu memadam kebakaran di Indonesia.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pesawat terbabit amat berkesan dan diakui sendiri Menteri Luar Indonesia, Retno LP Marsudi .
"Saya dihubungi Menteri Luar Indonesia,meminta supaya bantuan menggunakan aset milik Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Bombardier CL415 MP untuk operasi memadam kebakaran.
"Ini kerana aset tersebut yang merupakan satu-satunya di rantau ini amat berkesan dalam operasi terbabit," katanya dalam sidang media sempena perasmian Persidangan dan Pameran Peralatan Khas Polis Asia ke-4 (GPEC Asia) di sini, hari ini.
Tambah beliau, setakat ini bantuan terpaksa dihentikan sementara kerana pesawat terbabit perlu membuat penyelenggaraan.
"Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menyarankan APMM untuk kembali menjalankan operasi bantuan memadam kebakaran sebaik sahaja penyelenggaraan pesawat terbabit selesai," katanya.
Tambah beliau, hal ini antara perkara yang dipersetujui Malaysia-Indonesia dalam komitmen membantu memadam kebakaran hutan di Indonesia.
Selain itu, Wan Junaidi turut menyentuh perkara berkaitan tindakan kerajaan yang belum mengumumkan situasi darurat akibat bencana jerebu yang melanda.
Jelasnya, tahap pencemaran yang dikesan kini belum berada pada tahap yang amat berbahaya untuk diisytihar sebagai darurat.
"Saya dah minta Jabatan Alam Sekitar untuk membuat analisa terperinci di bawah PM10 dalam melihat tahap pencemaran udara.
"Jangan dilihat pada asap, teta pi bahan pencemar udara yang ada dalam jerebu," jelasnya.