Penerbangan bagi sektor Kuching/Pontianak/Kuching dibatalkan sehingga diberitahu kelak berikutan keadaan jerebu, kata Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) Mohd Nadzim Hashim.

Beliau berkata setakat 3 petang tadi terdapat dua penerbangan dibatalkan, satu ketibaan dan satu perlepasan bagi sektor itu susulan jarak ketampakan hanya kira-kira 900 meter.

"Semua penumpang telah dimaklumkan lebih awal berhubung pembatalan itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Nadzim berkata setakat pukul 3 petang tadi, sejumlah Sembilan penerbangan mengalami kelewatan, lima pelepasan iaitu bagi Kuching/Kuala Lumpur dan Kuching/Sibu, dan empat ketibaan membabitkan sektor Kuala Lumpur/Kuching dan Sibu/Kuching.

"Seramai 1,143 penumpang terbabit dalam kelewatan, (iaitu) ketibaan seramai 494 penumpang dan pelepasan 649 orang," katanya.

Beliau berkata satu penerbangan iaitu penerbangan MH2542 bagi sektor Kuala Lumpur/Kuching yang dilencongkan ke Sibu.

Mohd Nadzim menasihatkan semua penumpang penerbangan melalui LTAK menyemak jadual penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing.