Jerebu: Orang ramai dinasihatkan kurangkan aktiviti fizikal dan luar bangunan

Bernama
Ogos 1, 2019 05:06 MYT
Pemandangan Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur yang terjejas dengan jerebu akibat kebakaran hutan di lima wilayah di Indonesia ketika tinjauan di sekitar ibu kota pada 1 Ogos, 2019. --fotoBERNAMA
Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan merekodkan kualiti udara tidak sihat akibat jerebu susulan kebakaran hutan di Indonesia supaya mengurangkan aktiviti fizikal yang menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan metabolisma badan.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini berikutan ia boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu dan cuaca panas.
Beliau turut meminta orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar bangunan atau menggunakan penutup hidung dan mulut, payung, dan topi sekiranya berada di luar rumah.
"Orang ramai juga perlu menutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan dan mengelakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai untuk lebih kerap meminum air kosong bagi mengekalkan tahap hidrasi dan mendapatkan rawatan segera sekiranya tidak sihat.
Dr Noor Hisham berkata orang awam boleh mendapatkan langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu dan cuaca panas menerusi laman sesawang kementerian.
BACA: Lembah Klang, Pulau Pinang bakal kena tempias jerebu Indonesia - MetMalaysia
BACA: Negara diselimuti jerebu kembali
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pada Khamis melaporkan beberapa negeri bakal berdepan tempias jerebu berterusan dalam tempoh tujuh hari berikutan monsun Barat Daya dengan cuaca kering dan stabil, susulan kebakaran hutan di lima wilayah di Indonesia.
Jerebu yang merentas sempadan dari Sumatera boleh mempengaruhi keadaan terutama di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan di sebelah utara semenanjung seperti Pulau Pinang.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), setakat pukul 7.00 petang Khamis, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara berada di tahap sederhana kecuali dua kawasan yang merekodkan bacaan tahap tidak sihat iaitu Johan Setia, Selangor dan Rompin, Pahang di mana terdapat kebakaran di kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
#cuaca panas #jerebu #kadar pernafasan #Kementerian Kesihatan #merokok #met malaysia #metabolisma badan #minum air kosong #Noor Hisham Abdullah #pencemaran udara #penutup hidung dan mulut #risiko penyakit #tahap hidrasi
;