Jerebu: LTSAAS kini dibuka semula

Malik Ridhwan
September 26, 2015 21:08 MYT
Menerusi papan informasi di terminal lapangan terbang, 17 penerbangan yang dijadualkan untuk berlepas dan 18 penerbangan yang dijadualkan untuk mendarat di LTSAAS dibatalkan. - Gambar Astro AWANI/MALIK RIDHWAN
Beberapa jam selepas pengumuman penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) pada petang Sabtu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan lapangan terbang itu sudah mula beroperasi pada jam 7.30 malam.
Penutupan LTSAAS itu diakibatkan oleh jarak ketampakan kurang daripada 300 meter dari pukul 4.15 petang pada Sabtu.
Tinjauan Astro AWANI mendapati keadaan masih terkawal, namun ratusan penumpang yang terjejas beratur untuk membuat semakan status penerbangan mereka dan menukar tiket penerbangan.
Menerusi papan informasi di terminal lapangan terbang, 17 penerbangan yang dijadualkan untuk berlepas dan 18 penerbangan yang dijadualkan untuk mendarat di LTSAAS dibatalkan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada Jumaat terpaksa membatalkan 21 penerbangan akibat keadaan jerebu yang tebal awal pagi Jumaat.
Ketua Pegawai Operasi Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd, Noor Safura Suib dalam satu kenyataan berkata penerbangan dibatalkan berikutan jarak ketampakan kurang daripada 1,000 meter dari pukul 6 hingga 8.30 pagi.
Jabatan Pendidikan pada Sabtu mengumumkan semua sekolah di negeri itu akan dibuka seperti biasa selepas sekolah ditutup selama seminggu.
Dalam perkembangan yang sama, Malaysia Airport Holdings Berhad dalam satu kenyataan pada Sabtu petang mengesahkan tiada penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang bertolak dari atau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang terjejas akibat jerebu.
Namun, penerbangan MAS MH2591 dari Miri ke Kuala Lumpur diarahkan ke Pulau Pinang tengah hari tadi berikutan jarak ketampakan rendah akibat jerebu.
#jerebu #Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah
;