Jerebu: LTAPP buka pusat operasi kecemasan - Ketua Menteri
Dewi Nur Harasha Alias
September 18, 2019 17:12 MYT
September 18, 2019 17:12 MYT
Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membuka pusat operasi kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, selepas beberapa jadual penerbangan di negeri itu terjejas sejak pagi tadi ekoran dilanda jerebu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pusat itu dibuka untuk menangani masalah berhubung penerbangan di LTAPP susulan keadaan jerebu yang semakin buruk di negeri ini.
Kon Yeow berkata, enam penerbangan membabitkan empat pesawat penumpang dan dua pesawat kargo dilaporkan terjejas setakat jam 12 tengah hari Rabu selepas jarak penglihatan direkodkan pada paras 1,500 meter.
"Jarak penglihatan adalah 1,500 meter dan pihak lapangan terbang sedang bekerjsama dengan pengawal trafik udara dan syarikat penerbangan untuk menyampaikan maklumat terkini, pusat operasi kecemasan telah dibuka, digerakkan untuk menghadapi cabaran ini," katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar, di sini pada Rabu.
Menurut Kon Yeow setakat ini dua penerbangan dari Kualanamu, Medan dan Kuala Lumpur ke negeri ini terpaksa berpatah semula ke lokasi asal manakala penerbangan dari Singapura pula dilencongkan ke Kualanamu, Medan.
Manakala pesawat dari Bangkok, Thailand juga terpaksa dilencongkan ke Kuala Lumpur dan penerbangan dari Kuching, Sarawak dilencongkan ke Langkawi, Kedah.
Satu lagi penerbangan dari Kuala Lumpur turut menerima nasib sama apabila juga terpaksa dilencongkan ke Langkawi, Kedah .
Kon Yeow berkata, pihak Malaysia Airport Sdn Bhd (MASB) kini sedang bekerjasama dengan Pengawal Trafik Udara Civil Aviation Authority Malaysia dan semua syarikat penerbangan untuk mendapatkan maklumat terkini.
Dalam pada itu, katanya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang juga telah mengarahkan semua 162 sekolah di dua Daerah iaitu di Timur Laut dan Barat Daya ditutup selepas Indeks Pencemaran Udara ( IPU) menunjukkan bacaan sangat tidak sihat.
Justeru, orang ramai dan ibu bapa juga diminta supaya tidak panik dan sentiasa mematuhi arahan dari pihak berwajib termasuk mengambil langkah keselamatan dengan menjaga kesihatan diri.
Kon Yeow berkata, pihaknya turut meminta Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang terbabit untuk mengumpul maklumat terkini berhubung keadaan jerebu dari semasa ke semasa.
Ditanya sama ada Pulau Pinang akan melaksanakan pembenihan awan, beliau sekali lagi berkata pihaknya menyerahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk membuat keputusan berhubung keperluan untuk melakukan pembenihan awan di negeri itu.
#Bangkok
#Chow Kon Yeow
#jerebu
#kesihatan
#Ketua Menteri
#Kuching
#Langkawi
#Malaysia
#menteri
#pendidikan
#penerbangan
#pesawat
#pulau pinang
#Singapura