Jerebu: Lihat saja data, tak perlu nafi lagi, kata Bee Yin kepada Nurbaya

Afiq Ariffin
September 12, 2019 09:50 MYT
Dalam muat naik di Facebook, Yeo menampilkan data terkini berkenaan jumlah bilangan titik panas yang direkodkan oleh ASMC sekali gus menjadikan ia bukti bagi menepis dakwaan Siti Nurbaya.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin meminta agar Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar tidak menuduh dan menafikan kebenaran tentang punca berlakunya masalah jerebu membabitkan dua negara.
Beliau berkata demikian bagi membidas kenyataan yang dibuat oleh Siti Nurbaya yang mendakwa Malaysia tidak mendedahkan fakta sebenar mengenai kebakaran hutan yang seterusnya mencetuskan masalah jerebu di negara ini.
Sebaliknya kata Yeo, pengesanan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) menunjukkan bahawa jerebu di Semenanjung Malaysia berpunca dari Sumatera manakala jerebu di Sarawak berasal dari Kalimantan.
"Biarlah data sendiri yang membuktikan perkara itu," kata Yeo dalam hantaran di Facebook malam tadi.
Di dalam muat naik itu, Yeo turut menampilkan data terkini berkenaan jumlah bilangan titik panas yang direkodkan oleh ASMC sekali gus menjadikan ia bukti bagi menepis dakwaan Siti Nurbaya.
Data itu menunjukkan jumlah bilangan titik panas yang direkodkan di Sumatera adalah sebanyak 474, Kalimantan sebanyak 387 dan Malaysia hanya tujuh.
BACA: Indonesia kata jerebu berasal dari Sarawak
Yeo juga turut memuat naik carta yang menunjukkan arah angin di kawasan terlibat.
"Menteri Siti Nurbaya tidak sepatutnya berada dalam penafian," katanya.
BACA: Jerebu: Bukan protes tapi tawar bantu Indonesia tangani kebakaran - Duta Malaysia
Selain itu, laporan media tempatan turut memberitahu bahawa Timbalan Ketua Menteri Sarawak (II) Douglas Uggah Embas turut menyelar suara Siti Nurbaya dan meminta menteri Indonesia itu mengemukakan fakta yang betul.
“Saya harap dia lihat peta yang betul, dia tidak seharus menuding jari ke negara yang salah," katanya.
BACA: Malaysia sedia bantu Indonesia padam kebakaran di Kalimantan, Sumatera
#arah angin #ASMC #bukti #dakwaan #Facebook #Indonesia #jerebu #Kalimantan #kebakaran #kebakaran hutan #siti nurbaya bakar #Sumatera #titik panas #Yeo Bee Yin
;